INGLEWOOD, 24 Mac – Raul Jimenez menjaringkan dua gol ketika Mexico merampas kemenangan 2-1 ke atas Panama untuk memenangi Liga Negara CONCACAF buat kali pertama kelmarin.
Penyerang Fulham, Jimenez menjaringkan penalti pada masa kecederaan untuk menyelesaikan pertarungan akhir yang mendebarkan di Stadium SoFi.
Kemenangan Mexico diwarnai dengan kontroversi, dengan perlawanan akhir dihentikan oleh pegawai perlawanan pada minit-minit penutup kerana laungan ganas daripada penyokong Mexico.
Ia merupakan final Liga Negara CONCACAF ketiga berturut-turut yang dihentikan kerana laungan yang berterusan di kalangan penyokong Mexico selama bertahun-tahun walaupun CONCACAF telah cuba berulang kali untuk menghentikannya.
Jimenez, 33, menyempurnakan sepakan penalti kemenangan pada minit kedua masa kecederaan selepas pemain pertahanan Panama, Jose Cordoba didenda menghalang hantaran lintang menggunakan tangan.
Jimenez turut memberi penghormatan kepada jurulatih, Javier Aguirre apabila berkata, “Inilah yang kami mahukan sejak hari pertama, sejak ‘Vasco’ tiba,” kata Jimenez, merujuk kepada nama samaran jurulatih tersebut.
Mexico membuka jaringan daripada Jimenez apabila menerima hantaran lintang Roberto Alvarado dan menanduk masuk ke gawang.
Jose Luis Rodriguez hampir menyamakan kedudukan empat minit sebelum separuh masa tetapi rembatannya diselamatkan oleh Malagon.
Panama tidak perlu menunggu lama apabila Johan Vasquez dari Mexico didapati bersalah menjatuhkan Waterman setelah ditinjau VAR dan Adalberto Carrasquilla menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Separuh masa kedua yang hambar menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang menjaringkan gol dan apabila masa tambahan semakin hampir, ketegangan semakin memuncak.
Pada minit ke-83, selepas amaran daripada sistem ucapan awam untuk menghentikan nyanyian kasar daripada peminat Mexico diabaikan, Escobar terpaksa menghentikan perlawanan di bawah protokol CONCACAF.
Kesempatan itu membolehkan Panama peluang untuk mengumpul kekuatan semula tetapi Mexico yang muncul juara setelah diberikan penalti. – AFP
