Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaringan Fernandes bantu tewaskan Bosnia

    LISBON, 18 JUN – Bruno Fernandes menjaringkan dua gol ketika Portugal menang 3-0 ke atas Bosnia dan Herzegovina kelmarin untuk mengekalkan rekod menang tanpa kalah dalam kelayakan Euro 2024.

    Bernardo Silva membuka jaringan sejurus sebelum waktu rehat di Estadio da Luz di Lisbon, dan bintang Manchester United, Fernandes menanduk masuk gol kedua dengan baki masa 13 minit.

    Dia kemudian menjaringkan gol keduanya, dan gol ketiga Portugal, pada masa kecederaan dan Portugal kini telah menjaringkan 13 gol dan tidak dibolosi ketika memenangi tiga perlawanan pembukaan mereka dalam Kumpulan J.

    Hasilnya, mereka menduduki tempat teratas dalam kumpulan enam pasukan, dua mata di depan Slovakia dan lima di atas Luxembourg, dengan dua pasukan teratas mara ke pusingan akhir pada tahun depan di Jerman.

    Skuad Portugal bimbingan Roberto Martinez berkunjung ke Iceland pada hari Selasa di mana satu lagi kemenangan akan membawa pemenang Euro 2016 itu mengesahkan kelayakan.

    Reaksi Fernandes ketika meraikan gol dalam perlawanan antara Portugal dengan Bosnia dan Herzegovina, baru-baru ini. – AP

    “Sikap kami sebagai satu pasukan adalah menakjubkan tetapi kesukaran bagi kami lebih berkaitan dengan keletihan mental daripada fizikal,” kata Martinez, yang tidak berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan itu. “Kami terlalu mengikut perasaan. Kami masih perlu mengembangkan potensi sepenuhnya.”

    Cristiano Ronaldo memakai lilitan kapten dan bermain sepanjang 90 minit ketika pemegang rekod penampilan antarabangsa lelaki berusia 38 tahun itu membuat kemunculannya ke-199.

    Bagaimanapun, penyerang yang kini bermain untuk Al Nassr di Arab Saudi itu tidak berjaya menambah rekod 122 gol antarabangsanya. Dia membuat jaringan dengan tandukan pada pertengahan babak pertama namun dinafikan oleh pengadil kerana ofsaid.

    “Komitmen Cristiano Ronaldo kepada pasukan kebangsaan wajar dijadikan teladan,” kata Martinez.

    “Dia adalah pemain unik dalam bola sepak dunia, dan dia sangat penting dalam pasukan kami. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda