LONDON, 25 OKT – Phil Foden yang diturunkan sebagai pemain gantian berjaya menyelamatkan Manchester City apabila menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat West Ham 1-1 semalam.
Pasukan bimbingan Pep Guardiola ketinggalan 1-0 menerusi sepakan akrobatik Michail Antonio pada separuh masa pertama di Stadium London.
Bagaimanapun, Foden yang masuk pada separuh masa kedua tidak menunggu lama untuk meledak gol penyamaan, namun City gagal menemukan kemenangan selepas hanya menang sekali dalam empat perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL).
City sekarang ini berdepan masalah kecederaan apabila tidak dapat menurunkan Fernandinho, Aymeric Laporte, Nathan Ake dan Gabriel Jesus, menyukarkan mereka untuk beraksi lebih meyakinkan.
Guardiola menurunkan barisan pemain yang tidak berubah dalam perlawanan berturut-turut untuk pertama kalinya sejak Oktober 2017, tetapi City masih kekurangan rentak dan mereka ketinggalan menerusi jaringan Antonio pada minit ke-18.
Keputusan itu menyaksikan City kini berada di kedudukan ke-11 hanya mengumpul lapan mata selepas lima perlawanan dengan dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
West Ham yang berada di kedudukan ke-10 turut mengumpul lapan mata selepas mengharungi enam perlawanan musim ini. – AFP