Friday, July 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Jaringan Gakpo, Malen bawa Belanda mara ke suku akhir

    MUNICH, 3 JULAI – Belanda mara ke suku akhir Kejohanan Eropah pertama kali sejak 2008 apabila Donyell Malen menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Romania pada pusingan 16 terakhir malam kelmarin.

    Cody Gakpo memberi Belanda pendahuluan awal tetapi mereka tidak dapat menukar tekanan menjadi gol kedua sehingga penyerang Liverpool itu membantu Malen membuat jaringan ketika perlawanan berbaki tujuh minit di Munich.

    Romania memberi tentangan hebat tetapi tidak mempunyai kualiti untuk menghukum kehebatan lawan mereka sebelum Malen menambah gol keduanya pada masa kecederaan.

    Sebelum perlawanan, kapten Belanda, Virgil van Dijk berkata pasukannya kekurangan tenaga dan ‘kemahuan untuk menang’ ketika tewas kepada Austria.

    Tetapi Belanda masih tumpul pada peringkat awal walaupun ditegur Van Dijk.

    Pemenang Kumpulan E, Romania bermula garang menyerang Belanda lebih awal.

    Romania semakin hampir apabila Dennis Man menerima bola pepenjuru yang hebat daripada Nicolae Stanciu, tetapi percubaan pemain sayap Parma itu tersasar.

    Belanda mematahkan momentum Romania sejurus selepas itu apabila Gakpo mendapat penghujung gerakan untuk membuka jaringan pada minit ke-20.

    Jerdy Schouten melakukan hantaran panjang yang sempurna melalui bahagian tengah kepada Xavi Simons, yang menemui Gakpo di sayap kiri.

    Gakpo mengelak Andrei Ratiu dan berjaya menewaskan penjaga gol Florin Nita yang tidak berjaga-jaga, meledak masuk di tiang yang terdekat.

    Gakpo, lelaki berbaju oren paling mengagumkan, mengambil keputusan sendiri ketika berbaki tujuh minit, menggelecek melalui kawasan penalti yang sesak dan menemui Malen yang kemudiannya menjaringkan gol.

    Dengan Romania melancarkan serangan terakhir, Malen berjaya membuat serangan balas membolosi gawang pada minit keempat masa kecederaan untuk memastikan kemenangan.- AFP

    Reaksi Virgil van Dijk meraikan kejayaan selepas menang menentang Romania malam tadi. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...