MILAN, 29 JUN – Alessandro Bastoni berjaya memberikan kemenangan buat Inter Milan setelah menjaringkan dua gol dalam enam minit terakhir perlawanan untuk menewaskan Parma 2-1 pada perlawanan semalam, sementara Atalanta meraih kemenangan ketiga berturut-turut sejak Serie A kembali semula.
Gervinho memberikan Parma kemenangan pada separuh masa pertama perlawanan di Stadium Ennio Tardini.
Inter kekal lapan mata berada di belakang pendahulu liga Juventus dan empat mata di belakang Lazio yang berada di tempat kedua dengan hanya berbaki 10 perlawanan sahaja lagi.
“Saya fikir ia adalah kemenangan yang lebih mudah. Sepatutnya,” kata penolong jurulatih Inter, Cristian Stellini kepada Sky Sport Italia dan jurulatih Antonio Conte terpaksa menonton dari tempat duduk peminat selepas dilayangkan kad merah semasa perlawanan minggu lalu.
Atalanta mengukuhkan kedudukan mereka di tempat keempat, terima kasih kepada dua gol menakjubkan dari Luis Muriel, yang masuk sebagai pemain gantian di separuh masa kedua dalam kemenangan 3-2 menentang Udinese.
Pemain antarabangsa Colombia itu meletakkan pasukannya di depan melalui sepakan percuma pada minit ke-71, setelah Kevin Lasagna menyamakan kedudukan buat Udinese pada minit ke-31 sejurus selepas jaringan pembukaan di awal perlawanan oleh Duvan Zapata.
Muriel kemudian meletakkan Atalanta dua gol di depan dengan jaringan yang luar biasa.
Roma tewas 2-0 menentag AC Milan. Ante Rebic dan Hakan Calhanoglu menjaringkan gol di minit-minit akhir perlawanan yang memberikan kemenangan buat Milan di San Siro. – AFP