CARDIFF, UNITED KINGDOM, 31 MAC – Wales menamatkan tempoh yang goyah selepas jaringan lewat Daniel James memberikan kemenangan 1-0 mengatasi Republik Czech sebentar tadi.
Penyerang Manchester United itu menyempurnakan hantaran Gareth Bale menerusi tandukan sembilan minit sebelum tamat di Stadium Cardiff City.
Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas penyerang Republik Czech, Patrik Schick dan pertaha-nan Wales, Connor Roberts dibuang padang.
Selepas tewas 3-1 di tangan Belgium pada saingan pembukaan Kumpulan E minggu lalu, Wales kembali ke landasan sebenar untuk mencari tempat ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
Ia tonik yang diperlukan buat bola sepak Wales berikutan kesukaran dihadapi di luar padang yang mengancam usaha mereka untuk layak.

Sekali lagi Wales dikemudi pengendali sementara Robert Page ketika bos Ryan Giggs berehat berikutan isu membabitkan kes serangan terhadap seorang wanita tahun lalu.
“Kami menemui cara untuk menang. Kami sedar berdepan pertarungan hebat dan mereka sentiasa memberi ancaman,” kata Page.
“Mereka menggunakan enam pemain di depan dan serangan menerusi bola tinggi dalam kotak penalti. Tapi saya rasa kami ada peluang terbaik dan akhirnya kami menemui satu gol pada penghujung.
“Tiga mata setakat ini adalah hebat memikirkan ada pemain yang tidak berada di sini.
“Apabila anda kembali membawa balik pemain itu, akan ada sesuatu pencapaian besar selepas ini.” – AFP