TURIN, 17 SEPT – Juventus mencipta kebangkitan luar biasa semalam apabila kelab Itali itu pulih daripada ketinggalan dua gol pada masa kecederaan untuk seri 4-4 dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund yang penuh mendebarkan.
Lloyd Kelly menyelamatkan satu mata untuk Juve pada detik terakhir perlawanan apabila dia menanduk masuk hantaran silang tepat daripada Dusan Vlahovic, sekali gus mencetuskan kegembiraan besar di kalangan penyokong di Turin.
Walaupun Kelly menjadi wira perlawanan, pemain gantian Vlahovic tampil sebagai watak utama apabila penyerang Serbia itu sekali lagi membuktikan kemampuan dirinya dengan menjaringkan dua gol, termasuk gol pada minit ke-94 yang menghidupkan semula peluang Juve.
Ia merupakan kali ketiga musim ini Vlahovic, yang pada awalnya dilaporkan bakal meninggalkan kelab pada musim panas lalu, menjadi penentu keputusan dari bangku simpanan, dengan jumlah jaringannya kini meningkat kepada empat gol dalam semua kejohanan.
“Ia bukan masa yang mudah bagi saya, banyak perkara diperkatakan dan banyak artikel ditulis yang 99 peratus daripadanya tidak benar dan perkara itu sememangnya memberi kesan kepada diri saya,” kata Vlahovic kepada Sky. – AFP


