LONDON, 27 JAN – Jaringan Lisandro Martinez memberikan sedikit kelegaan kepada pengurus Manchester United, Ruben Amorim, yang berada di dalam tekanan ketika Red Devils menang 1-0 di Fulham, kelmarin.
Perlawanan hambar yang kelihatan akan berakhir tanpa jaringan sehinggalah rembatan Martinez 12 minit sebelum tamat permainan terkena Sasa Lukic dan melepasi penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Kemenangan keempat dalam 12 perlawanan Liga Perdana untuk Amorim telah melonjakkan United ke tangga ke-12 dalam carta liga.
Amorim berkata, persembahan terbaik United dua bulan lalu telah hilang apabila bermain di gelanggang sendiri kerana kegelisahan beraksi di hadapan penonton tuan rumah di Old Trafford.
Bagaimanapun, persembahan tersebut adalah selaras dengan pasukan gergasi Inggeris yang lain musim ini.
Tidak banyak yang membuat pemilik bersama United, Jim Ratcliffe, teruja ketika dia menonton di barat London, akan tetapi kemenangan itu melenyapkan sebarang tanggapan bahawa United boleh diheret ke dalam persaingan penyingkiran.
Fulham memulakan permainan dengan baik tetapi kekurangan penguasaan ruang lawan di sepanjang 90 minit perlawanan.
Andre Onana kembali ke gawang menentang pasukan pelawat walaupun telah membuat kesilapan untuk gol ketiga Brighton dalam kemenangan 3-1 The Seagulls di Old Trafford hujung minggu lalu. – AFP



