Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jaringan tunggal mason Greenwood selamatkan United

    WOLVERHAMPTON, 30 OGOS – Manchester United mencipta rekod Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 28 perlawanan tanpa kalah di tempat lawan ketika jaringan dari Mason Greenwood 10 minit sebelum tamat perlawanan memberikan kemenangan
    1-0 menentang Wolves semalam.

    Penyokong yang datang ke Stadium Molineux memberikan sorakan gemuruh sebelum sepak mula dalam perlawanan pertama United sejak Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford.

    Ronaldo masih belum melengkapkan urusan perpindahannya namun United memberikan permulaan buat dua pemain yang dibeli musim panas ini, Raphael Varane dan Jadon Sancho.

    Dua pemain tambahan itu meningkatkan jangkaan buat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer bagi mencabar gelaran EPL sejak 2013, namun pemain muda dari akademi mereka sendiri yang memberikan kemenangan buat Red Devils. Di tengah kegembiraan besar atas kepulangan Ronaldo ke kelab di mana dia pertama kali menempah namanya sebagai bintang dunia, ada pertanyaan mengenai apa akan terjadi ke atas Greenwood nanti sebaik ketibaannya.

    Pemain berusia 19 tahun itu kini menjadi pemain remaja pertama sejak Robbie Fowler menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan pertama EPL.

    “Budak itu istimewa,” kata Solskjaer yang bersetuju dengan pengurus England, Gareth Southgate supaya Greenwood tidak menyertai saingan antarabangsa untuk dua minggu akan datang selepas permulaan musim yang padat. “Saya berbincang dengan Gareth, saya rasa ia perkara terbaik ketika ini supaya dia fokus setiap hari (di United) dan saya yakin dia akan tampil dengan lebih baik buat England.”

    Wolves masih belum mendapat satu mata atau menjaringkan gol dalam tiga perlawanan EPL pertama bagi pengurus Bruno Lage dan masalah mereka di depan gawang menjejaskan prestasi. Pasukan tuan rumah juga marah kerana tidak ada hukuman yang diberikan untuk asakan oleh Paul Pogba kepada Ruben Neves yang menyaksikan gol berkenaan.

    “Semua orang melihatnya, semua orang melihat kekasaran itu,” kata Neves. “Ia kesalahan yang jelas, tidak ada lagi yang dapat dikatakan.” – AFP

    Reaksi Mason Greenwood semasa meraikan jaringan golnya dalam perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, Wolverhampton, semalam. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda