Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Sempena ulang tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-59 tahun hari ini, Kementerian Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota ABDB khususnya mereka yang terlibat membantu pengawalan situasi wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
Penghargaan bantuan mereka seperti pengawalan di sempadan, penyeliaan logistik, pengawasan di masjid-masjid semasa solat fardu Jumaat dan lain-lain itu dilahirkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 141 orang, manakala jumlah yang sembuh juga kekal 138 orang.
Hanya satu kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan beliau masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan.
Menurut Yang Berhormat Dato lagi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 256 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 19,386 ujian.
Menyentuh mengenai aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa setakat ini sejumlah 254,637 orang telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi tersebut.
“Sehubungan dengan ini, kepada orang ramai yang masih lagi belum mendaftar adalah dinasihatkan untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi BruHealth tersebut,” tekannya.
Di samping itu juga, menurutnya, sejumlah 4,524 syarikat dan premis telah mendaftar dengan aplikasi tersebut. Bagi premis-premis perniagaan seperti pasar-pasar raya, kedai-kedai runcit, restoran, kafe, gerai dan medan selera yang masih lagi belum mendaftar adalah dikehendaki untuk mendapatkan kod QR bagi premis masing-masing dan memastikan pengunjung-pengunjung mengimbas dan mempunyai warna kod yang betul sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis.
“Ini di samping menyediakan pensanitasi tangan dan membuat pemeriksaan suhu badan,” tambahnya.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.