Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jasa baik Nomiyama tersemat di hati penduduk Fukuoka

    FUKUOKA — Penduduk di Iizuka, wilayah Fukuoka, berdukacita atas pemergian Gyoji Nomiyama, pelukis yang berasal dari bandar itu yang terus bekerja dengan penuh bertenaga sehingga tua dan sering melukis ladang arang batu hitam – pemandangan yang biasa baginya pada masa mudanya – dalam lukisannya.

    Penerima Anugerah Kebudayaan itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 22 Jun. Beliau berusia 102 tahun.

    Pada bulan April, Nomiyama menghadiri perasmian gimnasium perbandaran di Namazuta.

    Beliau kelihatan gembira di hadapan 43 ukiran seramik yang dipamerkan di ruang masuk gimnasium itu; beliau telah menciptanya berdasarkan lukisan kira-kira 1,100 murid sekolah rendah tempatan.

    “Saya dapat mengekspresikan impian kanak-kanak,” kata Nomiyama.

    Gyoji Nomiyama bergambar pada 15 April di hadapan ukiran seramik yang dibuatnya berdasarkan lukisan kanak-kanak, di gimnasium perbandaran di Iizuka, wilayah Fukuoka. – Gambar oleh Yomiuri Shimbun

    Semasa menyiapkan ukiran itu, Nomiyama berkata dia mahu mencipta karya seni dengan mentafsir idea yang telah diberikan oleh kanak-kanak tersebut. “Saya mahu mencipta karya yang akan membuatkan kanak-kanak berfikir bahawa mereka menyumbang kepada pembinaan gimnasium ini,” katanya.

    Nomiyama juga bekerja sebagai pensyarah khas di sebuah sekolah menengah yang bergabung dengan alma maternya, Sekolah Menengah Kaho Wilayah Fukuoka di bandar itu.

    “Awda tidak sepatutnya menjelaskan sesuatu dengan lukisan. Awda harus melukis kerinduan atau ketakutan awda seadanya,” katanya kepada kira-kira 80 pelajar semasa satu kelas pada September 2021.

    “Beliau berkongsi dengan kami banyak kisah berharga yang tidak dapat kami pelajari di sekolah. Saya sangat berterima kasih kepadanya atas cinta dan kasih sayang yang diberikan kepada mereka yang lebih muda daripadanya sehingga ke akhir hayatnya,” kata Naib Pengetua, Yasue Sato.

    Pada Ogos tahun lalu, galeri kekal pertama yang mengandungi nama Gyoji Nomiyama dibuka di Iizuka. Kira-kira 50 karya beliau dipamerkan di galeri di bandar itu. Akio Mizoe, pengerusi Kumpulan Mizoe, yang terdiri daripada syarikat pembinaan yang berasal dari Iizuka dan firma-firma lain, menubuhkan galeri itu dengan membaiki rumah lamanya.

    Tempat pembuangan sisa lombong arang batu dikatakan telah menjadi pemandangan yang biasa bagi Nomiyama, dan beliau sering menggambarkan landskap sedemikian dalam lukisannya. Mizoe berkata: “Semua karyanya adalah kebanggaan Iizuka. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya atas kerja kerasnya yang panjang.”

    Individu yang prihatin

    “Saya mahu berterima kasih kepada Nomiyama, yang terlibat dalam usaha kedai bekalan seni kecil kami,” kata Yasuyuki Yamamoto, pengerusi Yamamoto Bumpodo Co di bandar Chuo, Fukuoka. Selama kira-kira 30 tahun dari 1989, Nomiyama berkhidmat sebagai hakim menilai penyerahan daripada orang ramai untuk pertandingan seni yang ditaja oleh syarikat tersebut. Beliau dikatakan telah bertukar pendapat secara jujur dengan pemohon semasa menyemak hasil kerja mereka.

    “Nomiyama bertimbang rasa terhadap mereka yang terpilih dan mereka yang tidak.

    Pemohon sentiasa tidak sabar-sabar untuk berbual dengannya,” kata Yamamoto.

    Studio Nomiyama terletak di Itoshima, wilayah Fukuoka. Pada 26 Jun, Yuji Tsukigata, datuk bandar Itoshima, berkata dalam sidang akhbar biasa bahawa artis itu baru-baru ini telah memindahkan pendaftaran kediamannya ke bandar itu. “Saya fikir beliau memilih bandar itu sebagai rumah terakhirnya kerana beliau menggemarinya. Saya pasti beliau kini bercakap mengenai Itoshima di sana bersama ahli keluarga tercintanya,” kata Tsukigata.

    Nomiyama menyumbangkan banyak karya beliau kepada Muzium Seni Wilayah Fukuoka di Fukuoka, yang mengadakan pameran karya beliau dari Disember hingga Februari untuk memperingati sumbangan tersebut.

    “Nomiyama meninggalkan kami dengan karya-karya yang sangat berharga kepada wilayah kami, termasuk yang berunsurkan kampung halamannya di Chikuho, bekas kawasan pengeluar arang batu di wilayah itu, sebagai tambahan kepada pemandangan laut Itoshima,” kata Gabenor Fukuoka, Seitaro Hattori dalam satu kenyataan. – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda