Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 42 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang bersara pada 2018 telah diraikan pada Majlis Penyampaian Sijil dan Cenderamata yang berlangsung di Stadium Tertutup, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada para pesara ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dalam ucapan alu-aluannya menyampaikan ucapan terima kasih dan sangat menghargai segala jasa, bakti dan pengorbanan yang telah disumbangkan oleh para pesara sepanjang berkhidmat di KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Beliau berharap semoga para pesara akan dapat memanfaatkan masa persaraan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan menggunakan kemahiran dan pengalaman masing-masing untuk berkongsi terutamanya dengan para belia bagi sama-sama membangun dan mendukung wawasan negara.
Majlis juga diteruskan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda syukur seorang Muslimin setelah menjalankan puasa fardu Ramadan dan kejayaan warga KKBS dalam mengelolakan pelbagai acara keagamaan dan program-program yang bermanfaat bagi belia dan masyarakat sepanjang bulan tersebut.
Langkah KKBS meluaskan jangkauan Sambutan Hari Rayanya adalah manifestasi pengekalan amalan kunjung-mengunjungi antara komuniti.
Pada jemputan terdiri daripada Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari Pusat Pembangunan Belia, Alumni Progam Khidmat Bakti Negara (PKBN), Kumpulan Meraih Berkah, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), persatuan-persatuan belia dan sukan seluruh daerah yang mengharungi perjalanan dari jauh memperlihatkan kejituan hubungan keluarga KKBS.
