Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 SEPT – Seramai 30 guru dan pelajar Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof (SR PSN PMY) telah meraikan sambutan Hari Guru anjuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah di dewan serbaguna sekolah berkenaan, kelmarin.
Majlis yang diadakan bagi merakamkan penghargaan kepada guru-guru sekolah tersebut dihadiri oleh Ketua kaunseling dan Kerjaya untuk Sekolah Kluster 6, Awang Hatta bin Haji Suhaili selaku tetamu kehormat.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti pelbagai permainan serta persembahan daripada pelajar sekolah sebelum deklamasi sajak pendek bertemakan perayaan Hari Guru disampaikan oleh Awang Belle bin Awang Tengah.
Bagi memeriahkan majlis, guru-guru dan pelajar sekolah menyertai cabutan bertuah anjuran KBSentral yang telah memilih SR PSN PMY sebagai tuan rumah aktiviti Hari Guru mereka bertajuk Sentral Surprise Teacher’s Day Edition!
Di samping itu, para pelajar juga mengundi dan memilih Awang Mohd bin Haji Hassan sebagai guru terbaik sekolah mereka. Beliau menerima baucar dan hadiah serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh wakil pengurusan KBSentral.
