SANTOS, BRAZIL – Empat puluh lima tahun setelah aksi terakhir Pele, sukar untuk membayangkan bola sepak moden, atau Brazil, tanpa Pele.
Geovana Sarmento, 17, telah berbaris selama tiga jam untuk melihat jasad legenda tersebut di stadium yang selalu tempatnya bermain dalam kariernya. Dia datang bersama bapanya, yang memakai jersi Brazil dengan nama Pele.
”Saya bukanlah peminat Santos, begitu juga dengan bapa saya. Akan tetapi, lelaki inilah yang mencipta pasukan bola sepak kebangsaan Brazil. Dia membuat Santos kuat, dia membuatnya ‘besar’, bagaimanakah boleh kita tidak hormat kepadanya? Dia merupakan salah seorang pemain terhebat, kita perlu memberi penghormatan kepadanya,” kata Sarmento.
Pele akan dikebumikan pada hari Selasa di bandar tempat dia dibesarkan, menempah nama, dan membantu menjadikannya sebagai tumpuan dunia bola sepak.
Penghormatan terakhir akan diadakan di Stadium Vila Belmiro sebelum jasadnya dibawa berarak melalui jalan-jalan di Santos hingga menuju ke tapak perkuburan berdekatan.



Presiden Brazil yang baru dilantik, Luiz Inacio Lula da Silva, yang mengangkat sumpah untuk penggal ketiga pada hari Ahad setelah menang pilihan raya, juga datang memberi penghormatan terakhir.
Pemain hebat bola sepak itu meninggal dunia pada hari Khamis di usianya 82 tahun se-telah bertarung dengan kanser. Dia adalah satu-satunya pemain yang pernah memenangi Piala Dunia tiga kali.
Beribu-ribu orang yang ikut berkabung, termasuklah para pelajar sekolah dan hakim-hakim mahkamah agung, datang membuat penghormatan terakhir kepada jasad Pele di stadium yang berusia satu abad di mana tempat dia menjadikan pasukan negaranya sebagai pasukan terbaik.
Keranda Pele, yang ditutup dengan bendera Brazil dan bendera kelab Santos, diletakkan di tengah padang Stadium Vila Belmiro.
Stadium yang mempunyai 16,000 tempat duduk itu dikerumuni oleh peminat-peminat yang berkabung, dan ruang dalamannya dihiasi dengan hiasan bertemakan Pele.
Para peminat yang keluar dari stadium tersebut berkata mereka telah menunggu dalam barisan selama tiga jam, berdiri di bawah terik matahari.
Pada tahun 1960-an dan 70-an, Pele mungkin merupakan salah satu atlet yang paling terkenal di dunia.
Dia sudah bertemu banyak presiden dan permaisuri, malah perang saudara di Nigeria terhenti hanya kerana untuk menyaksikan Pele bermain.
Ramai rakyat Brazil memberi pujian kepada Pele kerana berjaya melonjakkan nama negara di pentas dunia buat kali pertama.
Jersi –jersi yang bernombor 10 digantung dan disusun pada belakang salah satu tiang gol, berkibar dengan tiupan angin musim panas bandar tersebut.
Sebahagian dari tempat duduk dipenuhi dengan bunga yang diletakkan oleh peminat dan juga dihantar oleh kelab-kelab dan pemain-pemain bintang terkenal – antaranya ialah Neymar dan Ronaldo – dari seluruh dunia sambil lagu bertajuk “Eu sou Pele” (I am Pele) yang dinyanyikan oleh Pele sendiri.
Antara yang hadir di stadium ialah sahabat karibnya iaitu Manoel Maria yang juga bekas pemain Santos.
“Jika saya mempunyai kekayaan sebanyak mana pun saya tidak akan dapat membalas apa yang telah dilakukannya kepada saya dan keluarga,” kata Maria.
“Dia adalah seorang insan yang hebat sebagai pemain bola; terbaik sepanjang masa. Legasi Pele akan bertahan lebih lama daripada kita. Dan buktinya kita boleh lihat ramai yang berbaris di sini daripada semua peringkat umur,” tambahnya.
Presiden FIFA Gianni Infantino memberitahu kepada wartawan bahawa setiap negara patut menamakan sebuah stadium dengan nama Pele.
“Saya di sini dengan perasaan penuh emosi, kesedihan, tetapi juga dengan senyuman kerana dia telah memberikan kita semua banyak senyuman,” kata Infantino. “Sebagai FIFA, kita akan memberikan penghormatan terakhir kepada ‘Raja’ bola sepak dan kami meminta seluruh dunia untuk berbuat yang sama.”
Pele telah menjalani rawatan untuk kanser kolon sejak 2021. Pusat perubatan di mana dia menerima rawatan menyatakan bahawa dia meninggal dunia akibat daripada kegagalan fungsi beberapa organ yang disebabkan oleh kanser tersebut.
‘King’ Pele telah mengetuai pasukan Brazil dalam merangkul gelaran juara Piala Dunia pada tahun 1958, 1962 dan 1970 dan kekal memegang rekod penjaring gol terbanyak iaitu 77 gol.
Neymar berhasil mengikat rekod Pele tersebut semasa Piala Dunia yang lepas di Qatar. – AP









