Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Kru kabin Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) harus menyesuaikan diri pada masa yang mencabar ini yang mana industri penerbangan akan terus terjejas dalam tahun-tahun mendatang.
Namun begitu, dalam menghadapi kesukaran itu, terdapat juga hikmah di mana pengurangan waktu penerbangan telah membukakan peluang untuk menumpukan kepada usaha membangunkan kemahiran yang lain serta mengembangkan pengalaman.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah RB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, melahirkan penghargaan kepada para kru kabin yang meluangkan masa menjadi Sukarelawan Belia Kebangsaan untuk menyokong usaha negara menentang COVID-19.
Beliau juga menyatakan penghargaan terhadap komitmen mereka yang bertungkus-lumus bertugas dalam penerbangan penghantaran balik untuk membantu menyatukan keluarga, pelajar kembali ke tanah air serta membantu ramai lagi dalam perjalanan penting mereka, tambahnya dalam ucapannya di Majlis Penghargaan bagi Kru Kabin yang berlangsung di Royal Berkshire Polo Club, Jerudong, kelmarin.
Pada masa yang sama, Yang Berhormat Dato juga merakamkan perasaan gembira bahawa kru yang ditempatkan sebagai Patient Associates bagi Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah menamatkan latihan intensif mereka.

Beliau menyatakan bahawa daya tahan dan keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri kepada keadaan harus dijadikan contoh dan ke arah itu, lebih banyak program penempatan (seconded program) sedang dalam perancangan untuk menawarkan lebih banyak peluang untuk meneroka bidang baharu serta memperoleh ilmu pengetahuan yang berguna daripada pengalaman.
Yang Berhormat Dato berkata lagi bahawa dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, ahli Lembaga RB dan pasukan pengurusan RB telah membuat keputusan untuk menumpukan kepada etos perkhidmatan RB yang dipadankan dengan hospitaliti keBruneian sebagai sebahagian daripada teras strategi korporatnya.
Sejak itu, transformasi RB sebagai syarikat penerbangan kebangsaan telah melalui pelbagai perkembangan positif daripada program pemodenan kapal terbang, pemasaran destinasi dengan tumpuan kepada tarikan Brunei, pertumbuhan rangkaian untuk membolehkan kesalinghubungan, memperbaiki infrastruktur, pengalaman tetamu yang tiada tandingan serta pembangunan kakitangannya.
Semua usaha itu, tambahnya, telah memberikan kesan signifikan kepada cara RB beroperasi yang membawa kepada penghantaran berkualiti tinggi, tawaran nilai dalam pasaran serta syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang disegani.
Usaha RB itu banyak membuahkan hasil dengan pencapaian serta mercu tanda yang telah dicatat dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk ranking RB dalam 70 buah syarikat penerbangan teratas di dunia, rating empat bintang Skytrax, APEX
Five-Star Major Regional Airline serta pemenang Anugerah Asia’s Leading Cabin Crew.
Beliau menambah sebagai pemegang saham, RB dijangka akan menyelaraskan matlamat korporatnya selari dengan Wawasan Brunei 2035 untuk membantu membina ekonomi yang dinamik dan mampan serta menyokong aspirasi Lembaga Pelancongan Brunei.