Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jasa mantan Setiausaha Agung ASEAN dihargai

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Peranan signifikan yang dimainkan oleh mantan Setiausaha Agung ASEAN, Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi dalam meningkatkan hubungan antara ASEAN dan Jepun amat dihargai di mana beliau dipilih oleh kerajaan Jepun untuk dianugerahkan Bintang Kebesaran The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star.

    Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi dalam perkhidmatannya selaku Setiausaha Agung ASEAN selama tempoh lima tahun telah menguruskan dengan amat baik projek-projek Jepun-ASEAN yang ditaja oleh Dana Integrasi Jepun-ASEAN, menyelaraskannya dengan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP) yang berkongsi prinsip asas dengan Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka (FOIP).

    Di samping itu, usaha beliau dalam memudahkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerjasama telah menyediakan pentas bagi Ulang Tahun Kerjasama Persahabatan ASEAN-Jepun ke-50.

    Pada masa yang sama, Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi juga memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kerjasama ASEAN-Jepun dalam sektor ekonomi melalui inisiatif-inisiatif seperti Kedayatahanan Ekonomi bagi Pelan Tindakan ASEAN-Jepun, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan kerjasama dengan Federation of Japanese Chambers of Commerce and Industry in ASEAN (FJCCIA).

    Selain itu, Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi juga menyumbang kepada memperkukuhkan kerjasama ASEAN-Jepun dalam bidang kehakiman dengan menegakkan penyertaan Jepun dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Undang-undang Kanan sebagai negara pertama dalam kalangan rakan dialog ASEAN.

    TYT Maeda Toru bergambar ramai bersama Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi dan isteri pada majlis yang berlangsung di kediaman Duta Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kampung Sungai Tilong, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    TYT Maeda Toru menyampaikan sijil penghargaan kepada Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Tambahan pula, semasa perkhidmatannya selama 11 tahun sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi memahami akan kedudukan Jepun serta menyokong kerjasama Jepun-Brunei melalui pelbagai rangka kerja termasuk Komuniti Ekonomi ASEAN, APEC dan ASEM.

    Sehubungan itu, sumbangan Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi telah dihargai pada Majlis Penganugerahan Bintang Kebesaran The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru bertempat di kediaman Duta Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kampung Sungai Tilong, hari ini.

    TYT Maeda Toru dalam ucapan beliau, turut menyatakan usaha Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi telah membawa kepada penyelesaian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Brunei Jepun (EPA) pada Jun 2007 yang telah mengembangkan perdagangan dan pelaburan antara Brunei Darussalam dan Jepun.

    Sementara itu, Dato Seri Paduka Lim Jock Hoi dalam majlis berkenaan menyatakan penghargaan kehadapan majlis Maharaja Jepun, dan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Jepun atas penghormatan yang diberikan kepadanya melalui penganugerahan bintang kebesaran itu.

    Beliau menyatakan penganugerahan itu amat bermakna kerana kedua-dua buah negara meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik pada 2024.

    Dalam pelbagai aspek, tambahnya, hubungan persahabatan yang erat dan hubungan sejarah di antara kedua-dua buah negara dicerminkan dalam penglibatan rakyat sepanjang kerjayanya.

    Beliau menyatakan lagi Jepun bukan sahaja terus menjadi rakan strategik dua hala bagi Brunei Darussalam, tetapi juga merupakan salah satu rakan kongsi ASEAN yang paling menyokong dalam sumbangan kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

    The Order of the Rising Sun telah ditubuhkan pada 1875 sebagai bintang kehormatan Jepun yang pertama dan ia merupakan bintang kehormatan yang menghargai warga di Jepun dan luar negara yang telah mencatat pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda