Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Tindakan pantas Awang Mohd Saifullah bin Haji Yahya memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api dalam kejadian kebakaran bilik di Kampung Jerudong, sebelum anggota bomba sampai di tempat kejadian, mendapat pujian serta penghargaan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Sehubungan dengan itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Cawangan Operasi F, JBP, di sini, hari ini, jabatan berkenaan telah memberikan Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan kepada Awang Mohd Saifullah yang merupakan penghuni rumah berkenaan.
Sijil disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F, Pemangku Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Haji Nordin bin Haji Buntan.
Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Operasi F, Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Suhaimi bin Haji Muhammad dan Ketua Perhubungan Awam dan Bahagian Teknikal Cawangan Operasi F, Pegawai Balai Aliman bin Haji Salleh.
Kenyataan menyatakan bahawa dalam kejadian pada pukul 9:07 pagi, 25 Ogos lalu itu, Awang Mohd Saifullah telah membantu memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk kering sebelum anggota bomba sampai di tempat kejadian.
