SEOUL, 15 SEPT – Polis Korea Selatan hari ini mengatakan mereka telah menahan seorang wanita dituduh membunuh dua orang anaknya, yang jasad mereka ditemui dalam beg-beg di New Zealand bulan lalu.
Wanita berusia 42 tahun itu dilaporkan warga New Zealand kelahiran Korea Selatan – diberkas di bandar tenggara Ulsan dan akan dipindahkan ke ibu negara, Seoul bagi prosiding ekstradisi, kata polis.
“Polis memberkas suspek di sebuah apartmen di Ulsan hari ini susulan maklumat keberadaannya dan rakaman CCTV,” kata Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Suspek dituduh oleh polis New Zealand kerana membunuh dua anaknya – berusia tujuh dan 10 tahun pada masa itu – sekitar 2018 di kawasan Auckland. Dia didapati tiba di Korea Selatan selepas jenayah itu dan bersembunyi di negara itu sejak itu,” tambah agensi itu.
Imej dalam media tempatan menunjukkan wanita yang belum lagi dikenal pasti oleh polis di Korea Selatan atau New Zealand, diiring keluar oleh penyiasat berpakaian biasa dari balai polis Ulsan, menutup kepalanya dengan kot besar.
Apabila ditanya oleh media tempatan sama ada dia mengaku melakukan pembunuhan itu, wanita itu berulang kali menegaskan, ‘Saya tidak melakukannya,’ sambil dibawa pergi dan masuk ke dalam kenderaan polis. – AFP
