Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jasad dua pendaki gunung ditemui

    ISLAMABAD, 10 MAC – Jasad dua orang pendaki dari Britain dan Itali telah berjaya ditemui di utara Pakistan setelah hampir dua minggu kedua-dua pendaki itu dilaporkan hilang, menurut diplomat Itali, semalam.

    Berita terakhir mengenai pendaki tersebut iaitu Tom Ballard dan Daniele Nardi, diketahui pada 24 Februari lalu apabila mereka mendaki Gunung Nanga Parbat, setinggi 8,125 meter iaitu gunung kesembilan tertinggi di dunia.

    Mereka cuba menggunakan satu laluan yang tidak pernah berjaya dilalui sebelum ini. Diplomat Itali ke Pakistan, Stefano Pontecorvo semalam berkata menerusi Twitter bahawa jasad kedua-dua lelaki itu telah dikenal pasti menerusi beberapa keping gambar yang diambil dari udara.

    “Amat menyedihkan untuk mengumumkan bahawa operasi pencarian telah berakhir secara rasmi,” katanya.

    “Pasukan pencari telah mengesahkan bahawa bentuk yang dilihat pada jarak kira-kira 5,900 meter itu merupakan jasad Daniele dan Tom.”

    Gambar fail bertarikh 4 Mac lalu menunjukkan setiausaha Kelab Alpine Pakistan, Karrar Haidri menunjukkan wajah Tom Ballard (kanan) dan Daniele Nardi yang dilaporkan hilang dua minggu lalu di Islamabad, Pakistan. – AP

    Satu pengumuman yang ditulis menerusi laman Facebook Nardi sekali gus mengesahkan berita tersebut.

    Menurut laman tersebut, pihaknya memaklumkan bahawa operasi pencarian Daniele dan Tom telah berakhir, dengan berkata, “Sebahagian mereka akan sentiasa kekal di Nanga Parbat.”

    Penemuan itu menyusuli pencarian meluas oleh sepasukan pendaki Sepanyol bersama bantuan daripada pendaki gunung berasal Pakistan, Rehmatullah Baig, yang mendaki gunung itu bersama kedua-dua lelaki itu sebelum berpatah balik.

    Operasi pencarian telah ditangguhkan disebabkan pasukan penyelamat terpaksa menunggu kebenaran untuk menghantar sebuah helikop-ter selepas Pakistan menutup ruang udaranya pada Rabu lalu dalam respons terhadap ketegangan yang semakin bertambah dengan India.

    Ballard merupakan anak lelaki kepada pendaki gunung dari Britain, Alison Hargreaves, wanita pertama yang menakluki Gunung Everest secara solo tanpa bantuan bekalan oksigen. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda