KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Jasad bekas Presiden MIC, Tun Dr S. Samy Vellu, yang meninggal dunia semalam, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, dekat sini, pada kira-kira 5:30 petang ini.
Terdahulu, jasad mendiang dibawa menaiki van dari kediamannya di Jalan Ipoh, bermula jam 3:30 petang dan singgah sebentar di Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum tiba di krematorium pada jam 4:28 petang.
Suasana hiba menyelubungi upacara selama sejam di krematorium itu yang dihadiri kira-kira 300 orang antaranya ahli keluarga, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran, Ketua Puteri MIC, R. Shaliny, penyanyi tersohor Datuk Dj Dave dan penulis lirik terkenal dari India, R. Vairamuthu. – Bernama
