Wednesday, December 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jasamu sentiasa dikenang

    Oleh Pehin Kolonel (B) DatoPaduka Abdul Jalil bin Haji Ahmad

    Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah meraikan Hari Ulang Tahun yang ke-54 tahun pada bulan Jun lepas 2019 dan di kesempatan ini penulis mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara.

    Ketika penghujung tahun 1975, setelah penulis selesai menghadiri kursus International Sub Lieutenant di Maktab Tentera Laut Diraja British, England, penulis telah dilantik untuk memegang jawatan sebagai Pegawai Pemerintah Kapal Diraja Brunei (KDB), MASNA.

    KDB MASNA adalah sebuah kapal peronda yang berukuran 62 kaki, diperbuat daripada kayu dengan kelajuan maksima 27 knot dilengkapi dengan senjata 20mm di hadapan dan di belakang kapal serta dilengkapi dengan dua senjata ringan MG42.

    Upacara pelancaran kapal KDB MASNA telah dilaksanakan di limbungan Vosper Thornycroft di Tanjung Rhu, Republik Singapura pada 23hb September 1970 oleh Datin J J H Simpson iaitu isteri Kolonel J J H Simpson, bekas Pemerintah Askar Melayu Diraja Brunei ketika itu.

    Pegawai Pemerintah kapal KDB MASNA yang pertama ialah Kapten Ross Canning Ure, seorang Pegawai Pinjaman Tentera Laut Diraja British yang berasal daripada negara Australia.

    KDB MASNA yang pernah dipimpin oleh Pehin Kolonel (B) Dato Paduka Abdul Jalil bin Haji Ahmad.

    Khusus bagi pegawai tentera laut pada kelazimannya untuk dilantik menjadi Pegawai Pemerintah kapal perang merupakan satu pencapaian yang sangat baik , penghormatan besar serta kepercayaan kepada pegawai tersebut.

    Peluang itu digunakan sebaiknya untuk menunjukkan kebolehan dan menimba ilmu pengetahuan sebaik mungkin dengan bantuan ‘Coxswain’ iaitu Sarjan Merali dan Chief Engineer Koperal LAmat di mana pada masa ini mereka telah pun bersara dengan pangkat Pegawai Warren 1.

    Anak buah kapal KDB MASNA ialah seramai 15 anggota yang terdiri daripada ahli-ahli jurusan kelasi, jurutera, dan jurusemboyan.Menjaga keselamatan kapal dan anak-anak buahnya pada setiap waktu merupakan satu tanggungjawab yang dipikul oleh Pemerintah KDB MASNA.

    Penulis juga banyak belajar daripada anak-anak buah kapal kerana mereka juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang tersendiri. Penulis juga mengambil peluang ini untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari semasa kursus di Maktab Tentera Laut Diraja British dahulu walaupun kadangkala keputusan yang dibuat adalah kurang tepat kerana kami merupakan pegawai yang masih muda.

    Sepanjang memimpin kapal ini, semua peraian di negara ini telah diterokai terutama dari Sungai Brunei sehingga Sungai Temburong.

    Penulis merasa bangga kerana dapat memerintah KDB MASNA dengan sempurna di mana anak-anak buah kapalnya telah memberikan sokongan yang kuat dan padu sepanjang berkhidmat dengan KDB MASNA. Mereka sentiasa bekerja tanpa mengenal waktu demi amanat tanah air yang tercinta ini tanpa beralasan.

    KDB pernah ditugaskan untuk bekerja semasa Hari Raya pertama. Walaupun di hati anak-anak buah kapal ini merasa sedih, namun penulis perhatikan air muka mereka ini tetap ceria dan dengan senyuman mereka dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanatkan.

    Penulis juga dapat merasakan anak-anak buah kapal telah memberikan kepercayaan yang penuh dalam melaksanakan tanggungjawab kerana ini adalah disebabkan kami sentiasa menjaga kebajikan mereka pada setiap masa, di samping mereka mempunyai mutu disiplin yang tinggi.

    Nasihat daripada Pegawai-Pegawai Kanan tidak akan dilupakan seperti sentiasa menjaga kebajikan anggota-anggota yang kita pimpin. Penulis merasa gembira dan bangga kerana diberi kepercayaan memerintah KDB MASNA dan dapat melaksanakannya dengan baik dan sempurna.

    Kesemua anak buah kapal berkenaan telah pun lama bersara. Jasa mereka akan tetap dikenang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda