Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    JASTRe tekankan perlindungan persekitaran pantai dan marin

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dengan kerjasama DHI Water & Environment (B) Sdn Bhd telah menganjurkan Bengkel Sustainable Planning for Coastal and Marine Development in Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.

    Dalam ucapan beliau, Haji Shaharuddin Khairul menekankan kepentingan memelihara dan melindungi persekitaran pesisir pantai dan marin sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam menjamin alam sekitar yang lestari di tengah-tengah arus pembangunan negara.

    Beliau turut menggariskan keperluan agar pihak pemaju memahami sepenuhnya syarat-syarat di bawah Akta Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar, Penggal 240, terutamanya bagi projek pembangunan yang berpotensi memberikan impak signifikan terhadap alam sekitar, termasuk pembangunan kawasan pantai dan marin.

    Dalam pada itu, beliau mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Saliran dan Pembetungan, serta Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam dalam merangka sistem pengawal seliaan pembangunan di kawasan pantai dan marin.

    Tetamu kehormat majlis, barisan pihak penganjur dan juga para jemputan yang hadir. – GAMBAR SERAHAN JASTRe
    Para peserta bengkel pada acara berkenaan. – GAMBAR SERAHAN JASTRe

    Beliau turut menekankan tanggungjawab besar yang digalas oleh pelaksana projek, kontraktor serta pengusaha dalam sektor pengorekan dan akuakultur untuk memastikan setiap tindakan mereka tidak menjejaskan ekosistem pantai dan marin yang rapuh.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Hifzhudin bin Lamudin.

    Sesi pembukaan diteruskan dengan pembentangan utama oleh Pengurus Negara DHI Water & Environment (B) Sdn Bhd merangkap Ketua Penyelesaian Alam Sekitar DHI Brunei dan Malaysia, Liaw Lin Ji.

    Dalam ucaptamanya, beliau mengetengahkan isu dan cabaran utama pembangunan pesisir pantai di negara ini serta keperluan perancangan yang holistik dan mampan bagi membina ketahanan terhadap impak perubahan iklim. Beliau turut menekankan kepentingan perancangan lestari yang seimbang antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.

    Perancangan sedemikian turut disifatkan penting dalam menjayakan Matlamat 2 Wawasan Brunei 2035 serta beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Lestari, Matlamat 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim, dan Matlamat 14: Kehidupan di Bawah Air.

    Bengkel sehari itu menghimpunkan pelbagai pakar yang berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta cabaran dalam merangka perancangan mampan pembangunan pesisir pantai dan marin di negara ini. Ia juga membuka peluang kepada para peserta untuk meneroka strategi jangka panjang demi kelestarian alam sekitar secara menyeluruh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda