(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti dan Kerajaan
Sekarang ini zaman moden, zaman di mana setengah orang mengambil mudah banyak perkara, hatta pada perkara berkaitan agama.
Malahan yang lebih menyedihkan, perkara thalaq boleh diambil mudah dan dianggap sebagai bahan gurauan dan mainan.
Ada suami yang melafazkan thalaq di hadapan kawan-kawan tanpa kewujudan isteri. Ada pula suami yang hanya berpesan kepada orang lain tentang ucapan thalaqnya untuk disampaikan kepada isterinya.
Malahan tidak dinafikan ada pula yang menulis surat atau nota kepada isterinya bahawa dia diceraikan.
Pada hakikatnya, perkara thalaq bukan perkara yang boleh diambil mudah dan dibuat main-main.

Islam menyuruh para suami untuk lebih berhati-hati dengan perkara thalaq, kerana thalaq yang dilafazkan, walau hanya dibuat secara gurauan adalah tetap dianggap suatu tindakan yang sungguh-sungguh dan sah pada pandangan syara‘.
Walaupun thalaq merupakan perkara yang halal (dibolehkan), namun ia sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Thalaq bererti tindakan memutuskan ikatan pernikahan dengan lafaz thalaq atau yang seumpamanya. Kuasa menthalaq ini terletak di tangan suami.
Apabila suami menjatuhkan thalaq, sama ada perkataan thalaq itu dilafazkan secara sungguh-sungguh atau secara gurauan, dan mencukupi syarat-syarat untuk jatuh thalaq, maka thalaq itu sah dan dengan itu terjadilah perceraian antara kedua suami isteri.
BAGAIMANA TERJADI THALAQ?
Thalaq boleh terjadi sama ada dengan lafaz sharih (jelas) atau dengan lafaz kinayah (kiasan).
Akan tetapi thalaq yang dibuat dengan cara kinayah mempunyai syarat tertentu sebelum dihukumkan bahawa thalaq itu jatuh atau tidak.
PERTAMA: LAFAZ SHARIH (JELAS)
Lafaz thalaq yang sharih (jelas) ialah lafaz yang secara zahirnya tidak membawa maksud yang lain selain thalaq.
Dalam bahasa Arab lafaz thalaq yang jelas itu ialah perkataan ath-thalaq itu sendiri.
Lafaz thalaq di dalam bahasa Arab ini jika digunakan oleh orang ‘Ajam (orang yang bukan orang Arab) yang mengetahui bahawa lafaz di atas digunakan untuk melepaskan ikatan perkahwinan atau menjarakkan suami daripada isteri, maka tetap jatuh thalaq dengan melafazkan perkataan itu.
Umpamanya suami berkata: “Aku thalaq engkau” atau “Engkau ku thalaq”.
Akan tetapi tidak jatuh thalaq jika suami melafazkan lafaz thalaq sedangkan dia tidak mengetahui bahawa ia adalah untuk melepaskan ikatan perkahwinan.

