Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jauhi gunung berapi yang baru meletus’

    REYKJAVIK, 11 JULAI — Pihak berkuasa di Iceland hari ini memberi amaran kepada pelancong dan pengunjung lain supaya menjauhi gunung berapi baru meletus yang memuntahkan lahar dan gas berbahaya dari rekahan di barat daya negara itu.

    Letusan itu bermula petang kelmarin selepas beribu-ribu gempa bumi terjadi di kawasan itu, kata pihak berkuasa meteorologi. Kejadian ini berlaku 11 bulan selepas letusan terakhirnya secara rasmi berakhir. Letusan itu berada di lembah tidak berpenghuni berhampiran gunung Litli Hrutur, kira-kira 30 kilometer di barat daya ibu negara, Reykjavik.

    Kawasan itu, yang dikenali secara meluas sebagai gunung berapi Fagradalsfjall, meletus pada 2021 dan 2022 tanpa menyebabkan kerosakan atau gangguan pada penerbangan, walaupun berhampiran Lapangan Terbang Keflavik, hab trafik udara antarabangsa Iceland.

    Lapangan terbang itu tetap dibuka pada hari ini.

    Pejabat Meteorologi Iceland berkata letusan itu pada mulanya lebih kuat berbanding dua letusan sebelumnya. Rakaman udara menunjukkan aliran lahar cair berwarna oren dan awan gas yang dimuntahkan dari rekahan sepanjang kira-kira 900 meter.

    “Pencemaran gas adalah tinggi di sekitar letusan dan berbahaya,” kata Pejabat Meteorologi.

    “Pengembara dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan itu sehingga pasukan kecemasan berpeluang menilai keadaan.”

    Menjelang pagi tadi, rekahan dan jumlah letusan telah mengecil, kata saintis. – AP

    Seorang lelaki mengambil gambar ketika lahar keluar dari celah gunung berapi Fagradalsfjall berhampiran gunung Litli-Hrutur, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda