Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Sesungguhnya hasad dengki adalah salah satu daripada sifat mazmumah yang ada dalam diri seseorang insan.
Sifat ini boleh membahayakan diri dan mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat mahupun bernegara yang boleh menyebabkan terjadinya perpecahan dan perselisihan.
Khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk Celanya Sifat Hasad Dengki, menegaskan hasad dengki boleh diertikan sebagai suatu sikap tidak senang hati dan tidak boleh menerima dengan nikmat kesenangan ataupun kelebihan yang ada pada orang lain.
“Jika mendengar kebaikan atau kelebihan orang yang dihasadnya, maka bermasam mukalah dia dalam kedukaan. Sebaliknya, jika ada berita buruk mengenai orang yang dihasadnya maka berseri-serilah mukanya kegembiraan,” ujar khatib.
Beliau seterusnya mengongsikan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin telah menghuraikan beberapa ciri utama orang yang memiliki sifat hasad dengki iaitu ia merasa gelisah, marah atau benci melihat orang lain mendapat rezeki, kejayaan, ilmu, kedudukan dan apa juga nikmat, ia menginginkan kelebihan yang dimiliki orang lain itu terhapus sama ada dengan tindakannya dengan kata-kata, fitnah, menyebar aib atau mengadu domba dan ia juga merasa lega dan tenang bila melihat orang lain kehilangan nikmat tersebut.

“Sesungguhnya perasaan hasad dengki tidak pernah mengenal pertalian darah ataupun keluarga, tidak mengenal sahabat dan rakan sekerja. Ini kerana hubungan keluarga yang rapat boleh menjadi renggang, sahabat yang akrab boleh menjadi musuh, rakan sekerja menjadi tidak sehaluan dan semua ini adalah disebabkan oleh perasaan hasad dengki,” tekannya.
Dalam pada itu, khatib seterusnya menegaskan ada banyak sebab mengapa orang itu mempunyai perasaan hasad dengki antaranya permusuhan, dendam, berasa khuatir tujuan tertentu tidak tercapai dan seumpamanya.
Khatib turut antaranya mengingatkan Allah SWT akan menguji hamba-hambaNya dengan mengurniakan nikmat yang kadang kala tidak sama di antara satu dengan yang lain.
Umpamanya ada sesetengah orang mendapat nikmat daripada Allah SWT dengan cepat, ada yang lambat, ada yang lebih dan ada yang kurang.
Ini menunjukkan bukanlah Allah SWT itu tidak bersifat adil, malah Allah SWT telah mengurniakan nikmat itu bersesuaian dengan kedudukan dan keadaan masing-masing.
Selain itu, khatib juga menegaskan hasad dengki adalah antara penyakit hati yang paling dahsyat yang jika dibiarkan akan membunuh nilai kasih sayang, keikhlasan dan kepercayaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Namun demikian, terdapat cara untuk mencegah dan mengubatinya yang ia perlu kepada beberapa pendekatan antaranya kita hendaklah sentiasa mengawasi diri dan menyedari bahawa penyakit hasad dengki boleh merosakkan dan membinasakan diri sendiri, kita hendaklah tahu mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT dan jika kita melihat orang lain memperoleh nikmat atau kelebihan, kita hendaklah mengakui bahawa mereka memperolehnya dengan hasil usaha dan kurnia Allah SWT.
Begitu juga pendekatan lain untuk mencegah dan mengubati sifat hasad dengki, adalah dengan rajin bekerja, berikhtiar ataupun mencari rezeki dan kurnia Allah SWT, janganlah kita sentiasa membanding-bandingkan diri kita dengan orang yang lebih tinggi keadaan atau tarafnya daripada kita, sentiasalah kita berdoa memohon perlindungan Allah SWT daripada sifat hasad dengki dan jika kita masih juga mempunyai sifat hasad dengki dalam diri, maka kita hendaklah bertaubat dan beristighfar atau memohon ampun kepada Allah SWT.
Oleh yang demikian, khatib turut mengingatkan semua agar menjauhi diri daripada perasaan hasad dengki yang dilarang dalam agama Islam, jangan sampai ia bersarang di dalam hati. Ini kerana ia adalah antara sifat yang dibenci oleh Allah SWT.