Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jauhi perbuatan meminta-minta

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Masyarakat hidup rukun dan harmoni adalah antara faktor utama tercapainya pembangunan mantap dan kemajuan sesebuah negara.

    Kerukunan dan keharmonian ini dapat dicapai apabila nilai-nilai mulia yang diajarkan Islam dipraktikkan, antaranya menanam sifat suka membantu dan menolong orang lain yang dalam kesusahan dan mengharap pertolongan kerana tersepit dalam kesempitan hidup.

    Bantuan dan pertolongan yang dihulurkan dengan ikhlas kerana Allah tidak menjadi sia-sia kerana jaminan daripada Allah bahawa Dia akan membalas mereka dengan balasan yang lebih baik sama ada di dunia atau pun di hari akhirat.

    Di dalam al-Qur’an disebutkan mengenai zakat dan sedekah. Walau berbeza hukum dan cara perlaksanaannya, namun keduanya merupakan medium yang dituntut syarak bagi membantu golongan fakir dan miskin dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka.

    Oleh yang demikian, umat Islam perlu komited untuk merealisasikan fungsi keduanya sebagaimana yang dikehendaki syarak. Dengan itu masalah kemiskinan boleh diatasi.

    Meminta-minta yang dibolehkan itu adalah apabila seseorang itu benar-benar berhajat kepada bantuan sepertimana orang yang ditimpa kemiskinan, bahkan diwajibkan meminta apabila dalam keadaan darurat.

    Dari satu sudut yang lain, jangan pula sesetengah pihak yang menjadikan alasan susah atau sempit hidup sebagai alasan untuk meminta-minta daripada orang lain tanpa ada usaha untuk memajukan diri dan menaiktarafkan pendapatan keluarga melalui pekerjaan dari titik peluh sendiri.

    Kerana perbuatan meminta-minta juga adalah punca keretakan harmoni masyarakat memandangkan ketidakselesaan orang lain terhadap si peminta.

    Meminta-minta menurut pandangan Islam

    Dalam Islam, perbuatan meminta-minta dianggap sebagai perbuatan yang keji dan tercela. Banyak hadis Rasulullah yang menjelaskan akan hinanya perbuatan sedemikian.

    Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah dalam penjelasannya mengenai hadis Rasulullah menyatakan bahawa diharuskan seseorang itu meminta-minta jika dia benar-benar berhajat dan terdapat keperluan yang mendesak.

    Akan tetapi yang lebih baik ialah meninggalkan perbuatan meminta-minta dan bersabar sehingga memperolehi rezeki tanpa perlu meminta-minta. Memperolehi rezeki pula adalah dengan berusaha atau bekerja untuk menda-patkannya, bukanlah dengan meminta-minta.

    Menurut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘i, haram bagi seseorang itu meminta-minta dalam keadaan dia mempunyai kuasa atau kemampuan untuk berusaha dan bekerja.

    Berdasarkan penjelasan di atas, jelas bahawa Islam melarang umatnya dari meminta-minta dan larangan ini jelas pula haramnya apabila si peminta itu mempunyai keupayaan fizikal yang tidak menghalangnya untuk berusaha dan berkerja bagi memperolehi rezeki bagi dirinya mahupun keluarganya.

    Celaan bagi orang yang meminta-minta

    Hadis-hadis Rasulullah ada menyebutkan mengenai dengan celaan ke atas orang yang meminta-minta tanpa ada keperluan dan hajat atau meminta-minta sedangkan mempunyai keupayaan berusaha dan bekerja untuk memperolehi rezeki.

    Antara celaan yang disebutkan dalam hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

    1. Wang hasil meminta-meminta tiada berkatnya

    Diriwayatkan daripada Hakim r.a., Rasulullah memberitahu kepadanya yang maksudnya:

    “Sesungguhnya harta itu kehijauan yang manis. Barangsiapa yang mengambilnya dengan kemurahan hati si pemberi (bukan disebabkan dia meminta, maka Allah berikan berkat kepadanya pada harta tersebut. Dan barangsiapa yang mengambilnya dengan kerakusan jiwa, maka Allah tidak memberikan berkat kepadanya pada harta tersebut. Dan perumpamaan (orang yang meminta-minta) seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang (kerana tidak ada berkat untuknya pada harta tersebut). Tangan yang di atas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa hasil daripada perbuatan meminta-minta daripada orang lain itu tidak akan sepenuhnya membantu si peminta kerana tiada keberkatan harta tersebut disebabkan perbuatannya.

    2. Wang hasil meminta-minta tidak dapat menutup kefakiran diri

    Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang ditimpa kemiskinan lalu dia mengadukannya kepada manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya. Dan barangsiapa mengadukan kemiskinannya itu kepada Allah, maka Allah akan memberikannya (salah satu di antara dua) kecukupan iaitu sama ada dengan kematian yang cepat atau kesenangan yang cepat.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Hadis di atas menjelaskan bahawa seseorang yang ditimpa kemiskinan seperti berhajat pada keperluan atau sempit kehidupan dan dia memberitahu perkara ini kepada orang lain dengan mengadu dan meminta pertolongan agar dihilangkan kemiskinannya, maka orang lain tidak akan dapat menunaikan hajatnya dan tidak akan dapat menghilangkan kemiskinannya, dan setiap kali dibantu hajatnya akan ditimpa lagi kemiskinan yang lebih berat daripada sebelumnya.

    Akan tetapi jika dia mengadukan kemiskinannya kepada Allah dengan berserah kepada kekuasaanNya, maka Allah akan memberikannya pertolongan dengan serta merta.

    Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa penyelesaian terhadap sesuatu masalah termasuk kemiskinan hidup itu adalah dengan mengadu kepada Allah kerana hanya Dia sahajalah yang mampu menghilangkan kemiskinan hamba-hambaNya selain dari berusaha menghasilkan yang terbaik untuk mengatasi kemiskinan hidup.

    3. Mengumpul bara api neraka jahannam dengan perbuatan meminta-mintanya

    Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa meminta-minta kepada manusia demi memperbanyakkan hartanya, maka sesungguhnya dia mengumpul bara api. Kerana itu terserahlah dia mahu menyedikitkan atau memperbanyakkan.” (Hadis riwayat Muslim)

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya yang mensyarahkan hadits-hadits riwayat Imam Muslim, bahawa hadits di atas merupakan larangan untuk meminta-minta.

    4. Datang pada hari kiamat dengan tidak ada sekerat daging di wajahnya

    Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Seseorang yang meminta-minta kepada orang lain sehingga dia datang pada hari kiamat dalam keadaan tiada sepotong pun daging pada wajahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Menurut Imam al-Khaththabi Rahimahullah, maksud ‘dalam keadaan tiada sepotong pun daging pada wajahnya’ sama ada bermaksud:

    Datang pada hari kiamat dengan keadaan berjatuhan (lemah) tiada keupayaan dan tiada kemegahan.

    Atau dia diazab pada wajahnya sehingga berjatuhan dagingnya sebagai hukuman kesalahannya terhadap anggota kerana mengaibkan wajahnya dengan perbuatannya yang meminta-minta.

    Atau dia dibangkitkan dalam keadaan yang hanya tinggal tulang dan ini merupakan tanda untuk orang lain mengenalinya.

    5. Mencakar wajah sendiri di hari kiamat disebabkan dengan perbuatan meminta-mintanya.

    Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundab r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Meminta-minta itu merupakan cakaran (kesan kupasan) yang dicakar oleh seseorang itu pada wajahnya (dengan perbuatan meminta-minta). Maka barang siapa yang mahu membiarkan (kesan) tersebut di wajahnya, lakukanlah. Dan barang siapa yang mahu tiada kesan di wajahnya, maka tinggalkanlah (perbuatan meminta-minta) kecuali meminta kepada orang yang mempunyai kuasa atau atas suatu perkara yang sangat perlu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    Berdasarkan hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa dilarang meminta-minta kecuali kepada orang yang mempunyai kuasa atau pegawai yang dipertanggungjawabkan memegang pentadbiran Baitul Mal.

    Selain itu juga, meminta-minta yang dibolehkan itu adalah apabila seseorang itu benar-benar berhajat kepada bantuan sepertimana orang yang ditimpa kemiskinan, bahkan diwajibkan meminta apabila dalam keadaan darurat seperti tidak berpakaian (kerana tidak mampu mendapatkannya) atau berkeadaan lapar.

    Celaan yang disebutkan jelas menunjukkan bahawa perbuatan meminta-minta adalah sesuatu yang dilarang dalam Islam. Jika tidak kerana keperluan yang mendesak dan tiada keupayaan melakukan pekerjaan, barulah meminta-minta itu diharuskan.

    Walau bagaimanapun setiap masalah itu ada penyelesaian dan sebaiknya setiap masalah dan kesulitan yang ada diadukan kepada Allah. Jika masalah itu pula membabitkan kesempitan ekonomi, berusahalah dan sedaya upaya elakkan dari meminta-minta.

    Dengan keupayaan fizikal yang ada, lakukanlah apa sahaja pekerjaan halal kerana itu adalah lebih baik daripada meminta-minta.

    Manakala bagi mereka yang berkemampuan dan mempunyai kelebihan rezeki, tidak salah untuk berkongsi sama kesenangan dan kelebihan yang diperolehi dengan orang-orang yang susah, bahkan inilah sedekah, iaitu perbuatan yang dituntut kepada umat Islam dan dijanjikan ganjaran pahala. Selain dapat menyenangkan hati orang lain, amalan bersedekah ini juga mampu menyenangkan jiwa yang keresahan dan antara satu wasilah melafazkan syukur kita terhadap nikmat Allah yang tidak pernah putus-putus dianugerahkanNya kepada hamba-hambaNya.

    Jika hati berat untuk mengeluarkan sedikit bantuan atau pertolongan, ingatlah bahawa Allah telah menjanjikan ganjaran keluasan rezeki dan kemudahan mengatasi kesulitan serta berada di bawah lindunganNya bagi mereka yang menutupi kesusahan dan memudahkan urusan orang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda