Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jauhi permainan berunsurkan judi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MEI – Kekayaan dan kesenangan adalah nikmat daripada Allah SWT dan Allah SWT yang bersifat ‘Ar-Razzaq’ memberi rezeki kepada mereka yang dikehendakiNya.

    Ada banyak cara atau jalan untuk mendapatkan sumber rezeki, umpamanya bercucuk tanam, berniaga, makan gaji dan seumpamanya.

    Namun apa yang kurang menyenangkan, ada yang cuba mendapatkan rezeki itu dengan cara atau jalan yang salah tanpa cuba mempedulikan halal haramnya asalkan matlamat mereka tercapai semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk Jauhi Permainan Masa Kini yang Berunsurkan Judi, hari ini.

    Khatib memberikan contoh, terdapat segelintir peniaga yang menutupi cara perniagaan mereka supaya nampak seperti perbuatan itu tidak salah, sekali gus tidak mendatangkan keraguan kepada pelanggannya.

    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Sesungguhnya ada banyak cara untuk mendapatkan sumber rezeki, namun masih ada yang cuba mendapatkan rezeki itu dengan cara yang salah tanpa mempedulikan halal haramnya asalkan mendapat keuntungan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Akan tetapi pada hakikatnya, cara mereka menjalankan perniagaan itu salah dan boleh dianggap judi dan menipu. Dengan cara itu mereka dapat mengaut keuntungan yang lebih hasil daripada tipu helah yang dilakukan.

    “Judi memang perkara yang tidak asing lagi bagi kita. Ia memang sudah wujud sejak zaman berzaman. Disebabkan arus kemodenan, kadang-kadang bentuk judi itu tidak jelas atau tidak ketara sebagai judi, padahal ia adalah judi atau menyerupai judi,” tegas khatib.

    Tambahnya, agama Islam telah mengharamkan semua perjudian sama ada melalui permainan hiburan dan sebagainya kerana judi adalah perbuatan keji dan berdosa besar.

    Khatib turut menyentuh bahawa akhir-akhir ini, judi menjadi semakin mudah untuk dilakukan umpamanya melalui permainan pada masa kini seperti Claw Machine, Balloon Popper atau Pop The Balloon, Basketball Machine, Ring Toss dan seumpamanya.

    Oleh yang demikian, umat Islam dilarang dan haram hukumnya melibatkan diri dalam permainan tersebut sama ada sebagai pemain, penyedia permainan, pengiklan dan lain-lain mengenainya kerana ia merupakan suatu dosa dan menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

    Jelasnya lagi, sebagaimana yang difatwakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam mengenai permainan Claw Machine (Siri Fatwa Mufti Kerajaan 19/2023) yang telah dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan pada Disember 2023, Claw Machine adalah sejenis permainan arked berupa sebuah kabinet kaca menegak yang mempunyai cagar besar (alat pencengkam) terletak di bahagian atas sebelah dalam kabinet tersebut.

    Kegunaan alat pencengkam tersebut ialah untuk mengambil barangan atau hadiah yang disediakan dalam mesin tersebut.

    Berdasarkan cara permainan mesin ini, jelas khatib, ia adalah permainan yang mempunyai unsur-unsur seperti pemain disyaratkan untuk membayar sejumlah wang sebagai taruhan bagi mendapatkan hadiah; permainan ini lebih banyak bergantung kepada nasib sama ada akan dapat hadiah atau tidak; dan permainan berkenaan akan mendatangkan dua keadaan sama ada untung atau rugi.

    Perkara-perkara tersebut merupakan unsur-unsur judi di mana dalam bahasa Arab judi disebut Al-Qimar atau Al-Maisir, tegas khatib.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda