Jauhi sifat mazmumah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDARS ERI BEGAWAN, 28 OGOS – Sebagai umat Islam hendaklah mencontohi sifat-sifat dan akhlak yang ada pada diri Rasulullah SAW iaitu sifat siddiq, amanah, tablig dan fatanah.

Sifat ini sepatutnya menjadi pakaian umat Islam jika mahu berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, tekan khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Khatib seterusnya menjelaskan, kita hendaklah mengamalkan sifat ini dalam kehidupan seharian dan menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti bercakap bohong, berbuat khianat dan mungkir janji kerana sifat tersebut adalah ciri-ciri orang munafik.

“Orang munafik adalah orang yang lisannya bertentangan dengan apa yang ada dalam hatinya, di mulut ia memuji tapi di hatinya mencela, lidahnya membenarkan tapi hatinya menyalakan, munafik adalah orang yang berpura-pura atau orang yang bermuka dua,” jelas khatib.

Orang munafik, tambah beliau, adalah orang yang berpura-pura beriman sedangkan hati mereka tetap kufur terhadap Allah di mana para ulama menggolongkan munafik kepada dua, munafik itiqadi iaitu munafik dari segi akidah dan itiqad (kepercayaan).

Mereka ini, jelas khatib, orang yang mengaku beriman kepada Allah secara luaran saja tapi mereka ragu dengan kebenaran agama Islam dan keesaan Allah, segala amalan perbuatan yang mereka lakukan itu bukan atas dasar keimanan dan ketakwaan terhadap Allah.

Kedua, munafik amali iaitu munafik dari segi perbuatan dan amalan di mana perbuatan dan amalan mereka menjurus kepada melakukan dosa-dosa besar.

Rasulullah SAW telah menerangkan dan memberi peringatan dengan jelas perihal orang munafik supaya umat Islam dapat mengenal dan berwaspada terhadap mereka.

Khatib seterusnya menambah, Rasulullah SAW bersabda, ada empat tanda jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen, jika ia memiliki salah satu tanda tersebut, dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai ia meninggalkan perilaku tersebut iaitu, jika diberi amanah, ia khianat, jika berbicara, ia berdusta, jika membuat perjanjian, ia tidak dipenuhi, jika berselisih atau bertikai, ia akan berbuat zalim.