Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Jauhi sikap berkira’ antara resipi kecemerlangan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Hakikatnya apa sahaja profesion yang diterokai pastinya tidak terlepas dari melewati cabaran-cabaran tersendiri.

    Namun satu hal yang perlu disemat dalam diri kita bahawa bagaimanakah kita mampu bekerja dengan efektif, dedikasi dan penuh rasa tanggungjawab serta ketekunan dalam menanai amanah yang diberikan selama ini.

    Bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang, begitulah pegangan yang selayaknya disemai dalam jiwa raga seseorang apabila memikul amanah. Dalam situasi ini, sifat amanah dan bertanggungjawab perlu diterapkan dan dipraktikkan oleh setiap individu yang bekerja. Hal ini bagi memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan menepati matlamat dan tujuan yang telah ditetapkan.

    Sehubungan itu, Sambutan Kemuncak Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-30 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas pada 31 Oktober lalu telah melakar detik-detik berharga khususnya kepada golongan penjawat awam yang selama ini berkhidmat demi agama, bangsa dan negara.

    Bertemakan Keberdayatahanan dan Perpaduan Perkhidmatan Awam Pemangkin Kesejahteraan Negara, sambutan tersebut bermatlamat bagi mengetengahkan transformasi dan anjakan paradigma dalam tadbir urus untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih dinamik dan kompetitif serta memastikan kelangsungan sosioekonomi dan sosiobudaya masyarakat di negara ini terpelihara.

    Dayang Nadia menyeru setiap individu supaya sentiasa merendah diri untuk menimba ilmu dan pengalaman serta kemahiran. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Dayangku Siti Nur Halimatul Sa’adiah semasa ditemui Media Permata. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    Awang Mohammad Azmi Firdaus yang mewakili Kumpulan UPDT. – GAMBAR OLEH ADIB NOOR
    GAMBAR OLEH ADIB NOOR

    Justeru, keberdayatahanan perkhidmatan awam yang berpaksikan keimanan dan ketakwaan ke hadrat Allah SWT adalah tunjang utama kepada perkhidmatan awam negara ini yang bersifat inovatif, responsif, prihatin dan siaga perubahan. Sementara itu, kesepakatan, kerjasama dan saling menghormati dalam pelbagai bidang berkeutamaan nasional akan terus terpahat dalam setiap diri penjawat awam selaras dengan calak orang Brunei yang sentiasa taat dalam beragama, beraja, dan bernegara.

    Kemuncak acara pada sambutan tersebut ialah pengurniaan hadiah-hadiah dan penghargaan kepada para penerima bagi Anugerah-anugerah Perkhidmatan Awam iaitu Anugerah Penghargaan Khas Jasawan Perkhidmatan Awam (APKJPA); Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) melalui Penarafan Bintang, Anugerah Inovasi Perdana (AIP); Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) dan Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB2PA).

    JAUHI SIKAP BERKIRA

    Salah seorang penerima APCPA, Dayang Nadia binti Othman dari Kementerian Pendidikan yang sempat ditemui oleh Media Permata mengatakan, anugerah berkenaan menjadi pemangkin semangat untuk terus menabur bakti khususnya bagi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Satu prinsip yang perlu kita pegang semasa bekerja ialah jauhi sikap berkira. Jika diberikan tanggungjawab, kita mestilah memegang amanah itu dengan sebaik-baiknya dengan tahap kemampuan yang optimum,” ujarnya yang bertugas sebagai ketua pembantu teknik sejak 2010.

    Apabila diajukan tip untuk mencapai kecemerlangan, Dayang Nadia memberikan saranan khususnya kepada golongan muda yang baharu sahaja berkecimpung dalam sektor kerajaan untuk sentiasa membetulkan niat kepada Allah SWT dalam apa jua kerjaya yang diperolehi.

    “Bagi para graduan yang sudah mendapat karier ataupun bakal membuka lembaran baharu dalam dunia pekerjaan, mereka perlulah sentiasa memanfaatkan apa sahaja ilmu pengetahuan asas yang sudah dipelajari selama ini dengan semangat yang positif.

    “Adalah mustahak untuk memiliki semangat kerja berkumpulan yang tinggi tanpa mengira status dan pangkat ketika bertugas,” tambahnya.

    “Di samping itu, jadilah insan yang sentiasa merendah diri untuk menimba ilmu dan pengalaman serta kemahiran daripada golongan pegawai atau kakitangan yang lebih lama meskipun kita sudah memiliki pangkat yang lebih tinggi,” tekannya.

    Pada tahun ini, seramai 45 orang pegawai dan kakitangan kerajaan yang terdiri dari Bahagian II hingga V dari setiap kementerian diperkenankan untuk menerima APCPA tersebut.

    Tujuan utama ia diadakan adalah sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada warga perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang dan mempunyai keperibadian yang boleh dicontohi oleh para pegawai dan kakitangan yang lain.

    Anugerah ini juga diharap akan menjadi pendorong bagi meningkatkan lagi semangat, produktiviti dan kualiti kerja dalam sama-sama berusaha ke arah merealisasikan matlamat-matlamat dalam Wawasan Brunei 2035.

    Penerima APCPA bagi setiap bahagian menerima $1,000, sebuah plak dan sijil penghargaan.

    CIPTA PROJEK INOVASI DEMI KEPENTINGAN BERSAMA

    Sementara itu, dua kumpulan telah dikurniakan AIP manakala tujuh kumpulan yang lain menerima hadiah sagu hati.

    Anugerah Perak dikurniakan kepada Projek Click and Bid daripada Kumpulan Lakas dengan Klik! dari Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC). Kumpulan ini menerima Geran Pembelajaran Projek berjumlah tidak melebihi $5,000, sebuah piala dan sijil penghargaan.

    Wakil daripada kumpulan tersebut, Dayangku Siti Nur Halimatul Sa’adiah binti Pengiran Haji Abdul Rahman menjelaskan bahawa projek berkenaan dilaksanakan untuk menyokong MTIC bagi aspek pemerkasaan dalam pendigitalan.

    “Projek ini bertujuan untuk memudah cara orang ramai bagi melakukan proses tender menerusi platform digital secara lebih efektif dan efisien sekali gus menjimatkan masa dan tenaga mereka,” katanya.

    “Kami berhasrat untuk mengembangkan projek ini bagi kepentingan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berasaskan sistem digital pada masa akan datang,” tambahnya.

    Manakala Anugerah Gangsa di bawah AIP dikurniakan kepada Projek Student Attendance Management System (SAMS) daripada Kumpulan Unit Pengurusan Data dan Teknologi (UPDT), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan. Kumpulan ini menerima Geran Pembelajaran Projek berjumlah tidak melebihi $3,000, sebuah piala dan sijil penghargaan.

    Wakil daripada kumpulan itu, Awang Mohammad Azmi Firdaus bin Mohamin berkata projek berkenaan yang sudah dijalankan bermula Februari lalu sehingga kini sememangnya bertujuan untuk memantau kehadiran pelajar khususnya di sekolah-sekolah kerajaan dengan menggunakan aplikasi tertentu.

    “Selaras dengan pertambahan data-data penting untuk keperluan pihak kementerian seperti disiplin data dan profil data pelajar, maka, nama projek berkenaan telah dikemas kini menjadi Student Affairs Management System,” katanya.

    “Alhamdulillah, kira-kira 90 peratus daripada sekolah-sekolah kerajaan menerima projek ini dengan penuh kerjasama meskipun terdapat sedikit cabaran dari segi masalah tahap connectivity yang dialami terutamanya di kawasan pedalaman,” kongsinya.

    Pada sambutan itu juga turut menyaksikan penganugerahan 3PSA kepada Jabatan Perancang Bandar dan Desa di mana jabatan berkenaan telah mencapai penarafan tiga bintang yakni baik.

    Selain itu, sembilan orang kakitangan kerajaan telah menerima penganugerahan AKB2PA yang bertujuan untuk menghargai jasa kakitangan dalam Bahagian V kepada organisasi, keluarga, bangsa dan masyarakat sekeliling.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda