BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Para perokok di Negara Brunei Darussalam diseru untuk mengambil kesempatan baik pada bulan Ramadan yang berkat dan mulia ini untuk berazam berhenti merokok dengan menjadikan bulan ini sebagai peluang dan iltizam untuk membuat perubahan bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri bahkan demi keluarga dan orang tersayang.
“Marilah kita sama-sama berusaha untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam kita sihat dan bebas daripada tembakau dan asap rokok,” seru Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, hari ini.
Dalam perutusannya itu, Yang Berhormat Dato menekankan bahawa ancaman kepada kesihatan terutamanya kesihatan paru-paru yang disebabkan penggunaan tembakau semakin membimbangkan dari setahun ke setahun.
Tambahan pula, penyakit paru-paru adalah antara penyebab utama kematian yang mana penggunaan tembakau serta pendedahan kepada asap rokok pasif adalah faktor utama risiko penyakit tersebut.
Beliau mengongsikan, menurut kaji selidik STEPS NCD 2016, sebanyak 20 peratus atau seramai 50,000 hingga 60,000 orang rakyat Brunei yang berumur antara 18 ke 69 tahun adalah perokok, yang mana 36.3 peratus adalah dalam kalangan lelaki dan 3.7 peratus dalam kalangan wanita.
Manakala itu, berdasarkan kaji selidik Global School Health Survey (GSHS) 2014, sebanyak 11 peratus iaitu lebih kurang 3,800 orang remaja yang berumur 13 ke 17 tahun adalah perokok, yang mana 17.8 peratus adalah dalam kalangan remaja lelaki dan 5.5 peratus dalam kalangan remaja perempuan.
Hasil dapatan daripada kedua-dua kaji selidik tersebut menunjukkan bahawa kira-kira 50,000 hingga 60,000 orang penduduk di negara ini adalah perokok yang mana mereka ini mempunyai risiko tinggi untuk mendapatkan penyakit paru-paru seperti kanser paru-paru, penyakit pernafasan kronik, asma dan jangkitan Tuberculosis (TB).
Apa yang lebih membimbangkan, tekan Yang Berhormat Dato, ialah kesan-kesan tabiat merokok juga boleh menjejaskan kesihatan orang di sekeliling perokok yang terdedah kepada asap rokok, iaitu perokok pasif (passive smokers). Menurut kajian GSHS 2014, kira-kira 40 peratus remaja berumur 13 ke17 tahun terdedah kepada asap rokok pasif dan seramai satu dalam setiap tiga orang remaja mempunyai ibu bapa atau penjaga yang menggunakan produk tembakau.
Beliau menjelaskan, pendedahan kepada asap rokok pasif ini meningkatkan risiko setiap individu untuk mendapatkan kanser paru-paru, Jangkitan TB laten kepada jangkitan TB aktif, penyakit pernafasan kronik bagi orang dewasa yang pernah terdedah kepada asap rokok pasif sejak kanak-kanak lagi, dan kerap mendapat jangkitan paru-paru dan masalah pernafasan yang serius seperti penyakit asma.
