Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Sifat ujub merupakan satu sifat kesombongan yang terbit dalam hati yang tidak terlihat oleh orang lain, ujub lahir dalam diri seseorang yang mempunyai hati dan jiwa yang tidak bersih, dalam Islam, dan ia dilarang dan bertentangan syariat.
Ini kerana akan wujud sifat tidak ikhlas dan lupa kepada keagungan dan kekuasaan Allah SWT, sifat ujub dan ingin mengharapkan pujian atau sanjungan orang lain adalah termasuk dalam penyakit hati yang patut disingkirkan dalam kehidupan setiap Muslim.
Perkara ini ditegaskan oleh Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk ‘Menjauh dan menghindar sifat Ujub ’.
Ujub adalah salah satu sifat kagum terhadap diri sendiri, angkuh, bongkak dan ego, tegas Khatib, dan sifat ini juga diertikan sebagai sifat membanggakan diri dengan memberikan penghargaan yang terlalu berlebihan terhadap kemampuan diri sendiri.
“Ini seperti rasa meninggi diri dalam bidang keilmuan, amalan atau kesempurnaan moral sehingga ada yang sampai kepada satu tahap di mana seorang itu lupa Allah SWT yang memberikan setiap kebaikan dan nikmat tersebut,” tambahnya.

Agama Islam menuntut umatnya agar memiliki sifat-sifat terpuji dan melarang umatnya dari bersifat keji bagi mencapai kebahagiaan dan kejayaan hidup di dunia dan juga di akhirat, ini kerana dalam agama Islam, sifat ujub atau membanggakan diri itu merupakan antara sifat keji dan tercela.
Khatib dalam khutbah Jumaat turut menjelaskan, penyebab seseorang itu memiliki sifat ujub itu antaranya, ujub kerana sihatnya badan, ujub kerana kekuatan, ujub kerana mempunyai akal yang cerdas, ujub dengan nasab atau keturunan, ujub kerana mempunyai anak yang ramai, pembantu dan pengikut, dan ujub dengan harta benda.
Sifat ujub mempunyai kesan yang amat buruk dalam kehidupan seseorang, tegasnya, nilai keperibadian dan sahsiah mereka tidak melambangkan mukmin sejati kerana ketinggian egonya serta tidak mudah mengaku kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri.
Antara kesan buruk ujub itu ialah dibenci Allah SWT, mendapat azab neraka pada hari akhirat, kehidupan diselubungi penipuan, bangga diri tergolong amalan syaitan, tidak memperoleh taufik dan hidayah Allah SWT, tidak memperoleh keberkatan dalam hidup, dibenci oleh masyarakat sehingga membawa kepada pergaduhan, merosakkan akal fikiran dan menjatuhkan kemuliaan akhlak.
“Perasaan bangga diri atau ujub adalah sikap yang sia-sia kerana penuh kepura-puraan yang dibenci oleh masyarakat,” tegasnya.
Islam amat menggalakkan umatnya untuk bersyukur ketika memperoleh nikmat atau kelebihan kerana selamat daripada kekufuran, dan untuk menjauhi dan menghindari diri daripada sifat ujub itu ialah dengan sentiasa menanamkan dan menyuburkan sifat tawaduk dan sentiasa merendahkan diri.
Sifat tawaduk dapat memimpin kita agar sentiasa menghormati orang lain walau kita mempunyai kelebihan, ia akan menjadikan hati kita sentiasa ikhlas dalam beramal ibadah, berbuat amal kebajikan sehingga menyebabkan kita tidak suka menunjuk-nunjuk apa yang dilakukan.
Selain itu, sifat tawaduk juga menjadikan sentiasa bermuhasabah diri, sentiasa mencari kekurangan dan kelemahan diri, mahu menerima teguran dan nasihat pada orang lain.
Khatib turut mengingatkan ujub itu penyakit hati yang boleh membawa kebinasaan dan kerosakan terhadap diri sendiri dan bukan sahaja dibenci oleh Allah SWT, tapi juga tidak akan disukai dan dihormati oleh masyarakat sekeliling.
“Semoga kita semua memiliki akhlak mulia serta sifat tawaduk dan terhindar dari sifat ujub, dan dengan itu kita semua akan menikmati kehidupan yang aman di dunia dan juga di akhirat,” tambahnya.


