Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jauhilah arak! Ummu Al-Khaba ‘its (ibu segala kejahatan)

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Satu

    Islam diturunkan kepada manusia sebagai pembimbing ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat dengan memandu manusia ke arah segala bentuk kebaikan dan menyelamatkan mereka daripada segala bentuk kejahatan.

    Bagi memastikan kehidupan manusia sentiasa terjaga dan terarah, syariat Islam telah mengasaskan enam sendi sebagai dasar bagi memelihara maslahat dan menolak bencana.

    Sendi-sendi tersebut ialah: Memelihara ugama, memelihara nyawa atau jiwa, memelihara akal, memelihara nasab, memelihara nama baik dan memelihara harta.

    Segala perkara yang merosak atau memusnahkan walau satu sahaja daripada sendi-sendi berkenaan adalah ditolak dan diharamkan oleh Islam. Salah satu perkara yang diharamkan atas asas tersebut ialah meminum arak.

    Perbuatan meminum arak bukan sahaja merosakkan sebahagian daripada sendi-sendi yang enam itu, bahkan ia memusnahkan kesemua sendi-sendi tersebut. Ini berpunca dari hilangnya akal serta pertimbangan akibat daripada meminum arak.

    Meminum arak boleh mengakibatkan hilangnya akal serta pertimbangan serta segala penyakit kronik dan merbahaya seperti penyakit jantung, kanser dan sebagainya. – Gambar hiasan

    Apabila sudah dalam pengaruh arak, kesucian agama akan dinodai, nasab keturunan akan tercemar, harta benda akan rosak, dan nama baik, maruah serta nyawa akan tergadai dan terancam.

    Ini belum termasuk lagi segala penyakit-penyakit kronik dan merbahaya yang cukup sinonim dengan peminum arak seperti penyakit jantung, kanser dan sebagainya.

    Hukum arak dan meminum arak

    Tidak ada khilaf antara ulama bahawa meminum arak itu hukumnya haram dan merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar.

    Pengharaman arak adalah sesuatu yang diketahui umum (Ma‘lum min ad-din bi adh-dharurah) dan ianya sabit berdasarkan al-Qur‘an, Sunnah dan Ijma‘.

    Firman Allah dalam Surah al-Ma’idah ayat 90 dan 91 yang tafsirnya:

    “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji dari perbuatan syaitan.

    Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan) (90).

    Sesungguhnya syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab (meminum) arak dan (bermain) judi dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang, maka tidakkah kamu mahu berhenti (daripada melakukan perbuatan keji itu)? (91)”.

    (Surah al-Ma’idah: 90-91)

    Imam Abu Bakar ar-Razi Rahimahullah berkata dalam Ahkam al-Qur‘an bahawa pengharaman arak itu difahami atau diistinbat melalui ayat di atas tadi atas dasar-dasar berikut:

    Gelaran ‘rijsun’ (keji) ke atasnya yang menyerupai gelaran ‘rijsun’ (keji) pada daging babi. Ia perbuatan syaitan. Maka apa sahaja yang tergolong dalam perbuatan syaitan adalah diharamkan.

    Perintah wajib untuk menjauhinya. Maka segala apa yang wajib dijauhi adalah haram dilakukan. Kejayaan yang dijanjikan apabila melaksanakan perintah menjauhi arak.

    Meminum arak mencetuskan permusuhan dan kebencian antara kaum muslimin. Ia menjauhkan dan menghalang daripada mengingati Allah dan ibadat sembahyang.

    Dalil pengharaman arak daripada Sunnah pula antaranya hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a., bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya:

    “Tiap-tiap minuman yang memabukkan, maka ia adalah haram”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam Shahih Muslim pula, Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya: “Setiap yang memabukkan itu khamar dan setiap yang memabukkan itu haram”. (Hadis riwayat Imam Muslim)

    Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa istilah ‘khamar’ itu merangkumi segala jenis minuman yang me-mabukkan. Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menyatakan bahawa setiap cecair yang memabukkan itu termasuklah jenis khamar dan segala jenisnya sama ada yang diperbuat daripada anggur atau nabiz yang diperbuat selain daripada anggur.

    Jadi apapun nama, jenis atau gelaran yang diberikan kepadanya, beerkah, vodkakah, whiskykah, champagnekah, brandykah, atau apa-apa sahaja pun, selama mana ianya adalah jenis minuman yang memabukkan, maka hukumnya adalah haram.

    Orang yang meminum arak dihukumkan fasiq dan dilaknat oleh Allah serta RasulNya. Sehinggakan ‘Abdullah bin ‘Amr r.a. melarang daripada memberi salam ke atas peminum arak.

    Adapun jika dia mengingkari keharaman arak dan mengatakan bahawa meminum segala minuman yang memabukkan itu adalah halal dan tidak haram, maka dia dihukumkan sebagai murtad dan terkeluar daripada ugama Islam.

    Ini kerana dengan keingkarannya itu dia telah menolak dan mendustakan Allah dan RasulNya.

    Selain haram, ia juga dihukumkan najis dalam kategori najis mutawassithah (pertengahan) yang perlu dibersihkan tempat yang terkena arak itu dengan membersihkannya sehingga hilang bau, rasa dan warnanya.

    Meminum arak merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Bukan sahaja ia satu dosa besar, malah ia turut digelarkan sebagai ummu al-khaba’its yakni ibu atau paksi segala kejahatan.

    Ia digelarkan dengan gelaran yang sedemikian kerana segala bentuk kejahatan dan keburukan terhimpun di dalamnya dengan sebab tertutupnya akal dan fikiran siapa sahaja yang meminumnya.

    Ini satu gelaran yang sangat tepat untuk dinisbahkan kepada arak kerana bencana pasti akan melanda peminumnya dalam kehidupan dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bertaubat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda