Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jauhilah Arak! Ummu al-Khaba’its – Ibu Segala Kejahatan

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Dua

    Celaan dan janji buruk kepada peminum arak

    Meminum arak satu perbuatan terkutuk yang dipandang keji oleh syarak.

    Banyak nas-nas syarak yang mengeji dan mencela perbuatan meminum arak dengan pelbagai celaan dan janji-janji buruk yang dahsyat lagi menggerunkan. Antaranya:

    Ia salah satu dosa-dosa besar. Bahkan beberapa orang sahabat Rasulullah seper-ti ‘Abdullah bin ‘Umar dan ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a. berpendapat bahawa minum arak itu bukan sahaja salah satu daripada dosa-dosa besar, malah mereka menganggap bahawa ia merupakan dosa besar yang paling besar.

    Meminum arak diumpamakan seperti melakukan syirik. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan bahawasanya apabila disyariatkan pengharaman arak, para sahabat pun berkata: “Telah diharamkan arak, dan dijadikan (perlakuan minum arak itu) sama seperti perlakuan syirik (menyekutukan Allah)”.

    Kekal dalam neraka dan tidak akan masuk ke dalam syurga selama-lamanya. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumullah meriwayatkan dalam Shahih mereka bahawasanya Ibnu ‘Umar r.a. telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang minum khamar di dunia lalu dia tidak bertaubat daripadanya, diharamkan (ke atasnya meminum) khamar pada hari akhirat.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

    Orang yang memproses arak atau semua yang terlibat dalam perkara maksiat arak tergolong yang dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya.

    Khamar di akhirat bukanlah sepertimana khamar di dunia yang bersifat jijik, kotor, menghilangkan akal serta merbahaya. Adapun sifat khamar minuman ahli syurga itu ada disebutkan dalam al-Qur‘an sebagaimana firman Allah dalam Surah ash-Shaaffaat ayat 46 dan 47, firmanNya yang tafsirnya: “(Warnanya) putih bersih lagi lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya (46). Tidak ada di dalamnya (unsur) yang memabukkan dan mereka tidak mabuk kerananya (47).” (Surah ash-Shaaffaat: 46, 47)

    Menurut Imam al-Khaththabi Rahimahullah, maksud diharamkan ke atas peminum arak yang tidak bertaubat daripada meminum khamar di hari akhirat itu ialah dia tidak akan masuk syurga kerana khamar itu adalah minuman ahli syurga.

    Maka apabila minuman ahli syurga itu diharamkan ke atasnya, ini membawa maksud bahawa dia tidak akan memasuki syurga.

    Imam Ibnu Abdilbarr Rahimahullah berkata: “Ini janji buruk yang menunjukkan pengharaman untuk memasuki syurga (bagi peminum arak yang tidak bertaubat)”.

    Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah pula berkata: “Janji buruk ini merangkumi semua peminum arak walaupun dia tidak mabuk (setelah meminumnya)”.

    Ini adalah selama mana Allah tidak memaafkannya dan tidak mengurniakan pengampunan ke atasnya.

    Keimanan serta kedudukannya sebagai seorang mukmin dipertikai dan tidak diperakui.

    Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya: “… Dan seseorang itu tidak minum arak, ketika dia sedang minum itu dia adalah seorang mukmin…”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

    Ulama membuat beberapa penafsiran mengenai penafian iman terhadap peminum arak dalam hadis ini.

    Sebilangan ulama berpendapat bahawa ia membawa maksud perbuatan meminum arak itu menunjukkan dan mengakibatkan ketidaksempurnaan atau kurangnya iman.

    Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa meminum arak itu mengakibatkan iman seseorang itu terhapus sama sekali.

    Menurut Imam Ibnu Baththal Rahimahullah, ini adalah janji buruk yang paling dahsyat ditujukan kepada peminum arak.

    Tidak diterima amalan sembahyangnya selama 40 hari. Dalam Sunan Imam at-Tirmidzi dan Musnad Imam Ahmad, Ibnu ‘Umar r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah telah bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa minum arak, Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari). Maka jika ia bertaubat, maka Allah akan terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak), maka Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari).Maka jika ia bertaubat, maka Allah terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak), maka Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari). Jika ia bertaubat, maka Allah terima taubatnya. Jika ia kembali (minum arak) untuk kali keempat, maka Allah tidak menerima sembahyangnya selama empat puluh pagi (empat puluh hari).Jika ia bertaubat, maka Allah tidak akan menerima taubatnya dan Allah beri ia minum dari sungai Khabal.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi dan Imam Ahmad)

    Dijanjikan neraka dan akan diberi minum daripada sungai Khabal.

    Ini sekiranya dia mati dalam keadaan tidak bertaubat atau pintu taubat tidak lagi dibukakan ke atas dirinya sepertimana yang disebutkan dalam hadis di atas.

    Ibnu ‘Umar r.a. yang meriwayatkan hadis di atas pernah ditanyakan tentang sungai Khabal ini, lalu beliau pun menjawab: “Sungai dari nanah penduduk ahli neraka”.

    Mendapat laknat. Bahkan janji laknat itu bukan sahaja ditujukan kepada peminum arak semata-mata, bahkan ia juga ditujukan kepada semua yang terlibat dan bersubahat dengan segala perkara yang melibatkan arak.

    Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ketika mengulas tentang riwayat hadis-hadis yang menjanjikan laknat dalam perkara arak ini berkata, bahawasanya laknat dalam riwayat hadis-hadis berkenaan ditujukan kepada 12 golongan:

    1) Orang yang meminum arak.

    2) Orang yang memerah arak.

    3) Orang yang minta diperahkan arak.

    4) Orang yang membawa arak.

    5) Orang yang minta dibawakan arak.

    6) Orang yang memberi minum arak.

    7) Orang yang minta diminumkan arak.

    8) Orang yang menjual arak.

    9) Orang yang membeli arak.

    10) Orang yang minta dibeli dan minta dijualkan arak.

    11) Orang yang memakan harga arak.

    12) Orang yang menyimpan dan memiliki arak.

    Pendek kata, semua yang terlibat dalam perkara maksiat arak ini dijanjikan laknat oleh Allah serta RasulNya.

    Apakah dia laknat itu? Laknat menurut ulama ialah terhalau dan jauh daripada rahmat, simpati dan belas kasihan Allah serta dikutuk oleh Allah serta RasulNya.

    Apabila sudah terhalau dan jauh daripada rahmat Allah, maka segala keberkatan akan ditarik daripadanya, segala doa akan tertolak, segala amal ibadat tidak dipandang dan Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan redha dan belas.

    Hukum meminum arak tanpa mabuk

    Menurut ulama, berdasarkan dalil-dalil, minuman arak atau yang seumpamanya yang jika diambil dengan banyak boleh memabukkan, maka meminumnya walaupun hanya setitik adalah juga haram.

    Jabir bin ‘Abdullah r.a. meriwayatkan bahawasanya Baginda Rasulullah bersabda yang maksudnya:

    “Apa sahaja yang memabukkan (jika diminum) banyak, maka (meminum) sedikit (juga) adalah haram”.(Hadis riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)

    Imam al-adz-Adzrai‘e Rahimahullah berkata: “Ulama-ulama berkata bahawa minum satu titik arak itu adalah suatu dosa besar dan memang telah maklum bahawa satu titik itu tiada memberi kesan (tidak menyebabkan mabuk)”.

    Dengan hujjah-hujjah ini tertolaklah pendapat atau pandangan beberapa golongan yang berpendapat bahawa meminum arak itu tidak haram selama mana ia tidak memabukkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda