Saturday, September 21, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jauteh tambah baik infrastruktur kepolisan sempadan

    KOTA KINABALU, 2 MEI – Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu Datuk Jauteh Dikun komited dalam menambah baik pembangunan infrastruktur kepolisan di persempadanan Sabah-Indonesia menerusi peruntukan khas kerajaan Persekutuan untuk negeri ini.

    Beliau berkata pembinaan bangunan asas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nabawan dan IPD Kalabakan akan dapat direalisasikan sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh 20 peratus daripada jumlah peruntukan khas berkenaan.

    “Saya juga akan meneruskan beberapa dasar dan perancangan pimpinan terdahulu terutama dari segi pembangunan infrastruktur serta pembangunan sumber manusia.

    Semua ini demi meningkatkan kualiti, prestasi, kecekapan dan keupayaan dalam memastikan perkhidmatan disediakan memenuhi kehendak serta aspirasi pelanggan masa kini.

    “Saya juga merancang untuk mengambil peluang yang ada melalui peruntukan khas kerajaan Persekutuan bernilai setengah bilion ke atas negeri Sabah melalui pembangunan menambah baik pertahanan persempadanan Sabah-Indonesia,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas antara beliau dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah DCP Shahurinain Jais yang disaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Dewan Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

    Jauteh berterima kasih kepada pucuk kepimpinan PDRM kerana memberi kepercayaan kepada beliau menerajui IPK Sabah dan akan berusaha melaksanakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan sebaik mungkin demi memastikan PDRM terus menjadi agensi penguat kuasa ulung di negara ini.

    Sementara itu, Acryl Sani dalam sidang media, berkata pengalaman Jauteh dalam bidang kepolisan diyakini akan dapat memastikan tahap keselamatan serta ketenteraman di Sabah terus terpelihara dan terkawal dengan baik, sekali gus mendorong kepada perkembangan kegiatan ekonomi lebih pantas.- Bernama

    Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengadakan sidang media selepas majlis pemakaian pangkat Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Jauteh Dikun di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda