MADRID, 14 SEPT – Valencia bangkit dua kali untuk menewaskan musuh tempatan Levante 4-2 kelmarin, membangkitkan semangat pasukan selepas musim panas yang tidak menentu di kelab itu.
Manu Vallejo menjaringkan gol kemenangan pada akhir perlawanan di Mestalla selepas Jose Luis Morales menjaringkan dua gol untuk Levante, namun Valencia bangkit menerusi jaringan Gabriel Paulista dan Maxi Gomez.
Kemenangan pertama buat Javi Garcia selepas dia dilantik menjadi pengurus pada Julai dan memulakan kempen dengan positif dalam saingan La Liga, meskipun ketegangan di luar padang.
Manuel Pellegrini turut mencatat permulaan yang baik selepas mengambil alih jawatan di Real Betis di mana mereka memperoleh kemenangan 1-0 di tempat lawan menentang Alaves.
Tetapi perlawanan pertama Unai Emery bersama Villareal berakhir dengan keputusan seri 1-1 di laman sendiri kepada pasukan yang baru dipromosikan, Huesca.

Valencia berharap untuk mencabar Villareal dengan merebut kedudukan empat teratas musim ini tetapi beberapa orang pemain utama telah dijual, dengan pemilik yang kurang digemari,
Peter Lim berazam untuk memperbaiki situasi kewangan kelab.
Garcia memberitahu pada Jumaat dia berasa ‘sedih’ kerana skuadnya telah ‘dilemahkan’, satu tindakan yang berani dengan pihak lembaga yang kurang bersabar terhadap pengurus terdahulu.
Akan tetapi persembahan kelmarin pasti akan membuatkan Garcia merasa bangga, walaupun Valencia ketinggalan selepas 37 saat perlawanan, Morales berjaya menembusi kekangan empat pemain pertahanan sebelum membuat penyudah.
Gabriel kembali menyamakan kedudukan apabila tandukannya menemui gawang hasil sepakan sudut tetapi Levante sekali lagi, menerusi Morales, menjaringkan gol selepas kesilapan pertahanan Valencia.- AFP