Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Kumpulan Jawaahir Al-Falaah dan Kumpulan Zuhuur Al-Falaah masing-masing diumumkan sebagai johan Kategori ‘A’ dan ‘B’ dalam Pertandingan Tausyeh Peringkat Akhir 2019 yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB) di ibu negara, hari ini.
Dalam Kategori A iaitu bagi kanak-kanak lelaki, naib johan disandang oleh dimenangi oleh Al-Jauhar sementara, kumpulan Kumpulan Ar-Raihanah di tempat ketiga.
Bagi Kategori B (kanak-kanak perempuan) pula, naib johan dimenangi oleh Kumpulan Ar-Raihanah diikuti oleh Kumpulan Khairunnida di tempat ketiga.
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku tetamu kehormat majlis.
Johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang tunai $3,000, tempat kedua menerima $2,500 dan wang tunai $1,000 untuk pemenang ketiga, dengan masing-masing turut menerima piala dan sijil.

Pada tahun ini, sasaran peserta pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur tujuh hingga 12 tahun.
Pertandingan kali ke-11 ini diadakan bersempena dengan Ulang Tahun Perkhidmatan Radio ke-62 tahun dan ulang tahun ke-22 Rangkaian Nur Islam di mana penganjuran pertandingan terus giat dilaksanakan sebagai kesinambungan kegiatan dakwah berprestij.
Selain menjadi wadah terbaik dalam menjalin hubungan kerjasama antara kerajaan dengan pihak swasta yang mana jalinan tersebut sudah berjalan lebih satu dekad yang lalu.
Antara objektif pertandingan adalah untuk menjadikan seni tausyeh sebagai salah satu alternatif kaedah dakwah ke arah menanai hasrat untuk mengekalkan negara sebagai sebuah negara zikir yang berpaksikan konsep Melayu Islam Beraja.
Pertandingan ditaja oleh Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans Islam TAIB dan Darussalam Holdings Sdn Bhd serta turut disokong oleh Syarikat Roti Darussalam Trading (Bismi Bakery) dan Cuckoo Brunei.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammad Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan Pemangku Pengarah RTB, Awang Mohammad Aizam bin Haji Abdul Hamid serta pegawai kanan RTB dan wakil penaja.