Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, jawatan untuk menjadi imam tidak terletak pada orang yang hafaz Al-Quran sahaja.
Jika dilihat, walaupun lepasan tahfiz dilantik menjadi imam terdapat perbezaan dari beberapa sudut tapi perkara berkenaan tidak boleh dijadikan alasan yang jawatan imam tidak boleh diberikan kepada mereka yang berkelulusan lain.
Yang Berhormat Pehin menekankan perkara itu ketika mengulas cadangan yang dikemukakan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman mengenai mengambil penghafaz Al-Quran untuk menjadi imam, pada hari ke-8 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.
Menyentuh mengenai usaha melahirkan lebih banyak huffaz, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berkata, dalam memberikan galakkan untuk menghafaz Al-Quran, beberapa usaha telah diperkenalkan antaranya pengajian ilmu qiraat di peringkat diploma yang boleh diambil di peringkat sarjana muda dan seterusnya.
Malah, apa yang membanggakan apabila sudah hafaz 30 juzuk Al-Quran, mereka diiktiraf penghafaz Al-Quran negara, iaitu dengan mengiktiraf mereka sebagai lulusan peringkat ijazah.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, kegunaan qiraat adalah lebih luas, bukan setakat menghafal dan mengetahui ilmu tajwid tetapi ia merangkumi mengetahui jenis-jenis bacaan yang ada dan diperakui, tetapi sebagai orang yang mengetahui mushaf.
Selain itu, usaha yang diberikan bukan setakat memberikan sijil hafazan atau diploma, malah sijil qiraat dan seterusnya melanjutkan pengajian di Al-Azhar peringkat sarjana muda dan ke peringkat yang tertinggi.


