Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Isu subtema, Kesihatan Mental dan Pekerjaan, diketengahkan semasa sesi kelima Seminar Majlis Ilmu 2024 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, Rektor UNISSA, setiausaha dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan, para jemputan khas, para pembentang kertas kerja, pegawai dan kakitangan dari pelbagai kementerian dan jabatan.
Dalam pembentangan kertas kerja bertajuk, Kesihatan Mental dan Pekerjaan, Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor membincangkan bagaimana pekerjaan boleh memberikan kesan kepada kesihatan mental.
Beliau antara lain menyentuh mengenai faktor-faktor yang menyebabkan ketidakpuasan hati dalam bidang tugas yang dipohon tidak mengikut kehendak jurusan atau kelulusan akademik yang diperoleh, tidak ada pilihan lain.


Antara faktor lain, jelasnya ialah suasana bekerja dengan rakan sejawat yang tidak kondusif dan tidak sihat. Dari itu, di mana pun kita bertugas dan jenis pekerjaan yang penting keberkatan rezeki yang diterima.
Manakala, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Orang Kelainan Upaya, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Irnawati binti Haji Mahir yang menyampaikan kertas kerja bertajuk, Kesihatan Mental dan Pekerjaan, mengetengahkan pelbagai fasa perubahan yang akan dilalui dalam alam pekerjaan di mana sedikit sebanyak, keadaan itu telah memberikan kesan terhadap produktiviti kerja.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan produktiviti ataupun prestasi kerja tetap mantap, setiap pekerja semampunya harus sentiasa memastikan kesihatan mental yang terjaga.
Sementara itu, kertas kerja bertajuk, Applying the Ihsan Self-Regulation Model: Enhancing Workplace Mental Health Through Al-Takhalli, Al-Tahalli and Al-Tajalli, yang disampaikan oleh pensyarah, Pusat Pengajian Islam Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Nur Amali bin Aminuddin, antara lain menerangkan mengenai Ihsan Self-Regulation Model iaitu rangka kerja berasaskan konsep Islam dan direka bentuk untuk menangani cabaran kontemporari dalam pelbagai domain yang menumpukan pada aplikasinya kepada kesihatan mental di tempat kerja.
Model itu akan digunapakai dalam aplikasi untuk kesihatan mental di tempat kerja sebagai pendekatan holistik yang menggabungkan konsep Islam dengan pandangan psikologi moden.

