KUALA LUMPUR, 20 OGOS – Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan APEC (CTI) meminta anggotanya agar meningkatkan kerjasama dalam usaha untuk menyokong Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-12 (MC12) yang akan diadakan dari 30 November hingga 3 Disember tahun ini.
Seruan tersebut dibuat menjelang mesyuarat ketiga jawatankuasa itu yang dijadualkan berlangsung mulai 24 hingga 26 Ogos depan, yang mana pegawai perdagangan dan pelaburan akan bertemu sebagai sebahagian daripada kelompok mesyuarat APEC semasa.
Pengerusi CTI APEC, Krasna Bobenrieth meminta anggota jawatankuasa itu untuk menyokong pembaharuan amalan semasa iaitu mengecualikan cukai ke atas transmisi elektronik sehingga Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-13, dan bagi membolehkan ekonomi yang berada dalam kedudukan untuk berbuat demikian secara kekal.
Pegawai-pegawai ini akan melaporkan kepada Pegawai Kanan APEC mengenai inisiatif yang memfokuskan ke atas empat bidang utama termasuk sokongan untuk sistem perdagangan multilateral, memperdalamkan integrasi ekonomi serantau, memantapkan lagi bantuan perdagangan serta kesinambungan, selain daripada inklusif.
Bobenrieth juga meminta sokongan anggota untuk fungsi pembuatan peraturan WTO dengan terlibat dalam beberapa Inisiatif Penyataan Bersama WTO yang sedang berlangsung mengenai perusahaan mikro, kecil dan sederhana; e-dagang; perkhidmatan domestik serta fasilitasi pelaburan bagi pembangunan.
“Pemerkasaan ekonomi wanita adalah isu penting dalam APEC, saya menyeru anggota untuk menyertai Deklarasi Bersama WTO mengenai Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi Wanita,” tambahnya. – Bernama