KUCHING, 26 JAN – Jabatan Penjara Malaysia akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji mekanisme yang digunakan oleh penjara Sarawak dalam menangani masalah kesesakan banduan, kata Komisioner Jeneral Penjara Datuk Nordin Muhamad.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan mengkaji keberkesanan serta kaedah yang digunakan oleh penjara Sarawak untuk diaplikasikan di seluruh penjara di Malaysia.
“Kita (Jabatan Penjara) sudah minta bahagian dasar mewujudkan segera jawatankuasa itu, yang mana kita akan lihat uniknya negeri Sarawak ini sebab boleh mengawal kesesakan banduannya.
“Di Sarawak, secara keseluruhannya banduan yang ada dalam penjara adalah 9 peratus di bawah kesesakan, maknanya kapasiti penjaranya boleh menampung lebih daripada jumlah banduan yang ada pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di Auditorium Penjara Puncak Borneo di sini hari ini.
Nordin berkata daripada enam buah institusi penjara di Sarawak, hanya penjara-penjara di Puncak Borneo di sini dan Penjara Lambir di Miri sahaja yang mengalami kesesakan. – Bernama
