Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Sempena 90 tahun pergerakan pengakap di Negara Brunei Darussalam, Jambori Nasional ke-5 telah diadakan pada bulan Disember 2023 yang lalu.
Sehubungan itu, bagi menghargai jasa dan bakti ahli-ahli jawatankuasa kerja, pergerakan pengakap negara melalui jawatankuasa kerja Jambori Nasional ke-5 telah menganjurkan majlis penghargaan bagi ahli-ahli jawatankuasa kerja yang berlangsung di Dewan Ar-Rayyan, Amas Lamunin, Kampung Lamunin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Muhammad Usamah bin Haji Sarbini.
Turut hadir pada majlis ber-kenaan ialah Ketua Pesuruhjaya, Haji Junaidi bin Haji Hussin; Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Mohammad Arif bin Abdul Hadi; pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, penolong-penolong pesuruhjaya daerah, pemimpin-pemimpin pengakap, ahli-ahli pengakap serta jabatan-jabatan yang turut serta semasa jambori tersebut.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan daripada pengerusi jawatankuasa kerja jambori.
Majlis kemudiannya diteruskan lagi dengan tayangan video jambori bagi mengimbas semula rentetan perjalanan jambori berkenaan.
Majlis juga menyaksikan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja jambori yang disampaikan oleh tetamu kehormat majiis berkenaan.
