JAKARTA, 9 NOV – Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Indonesia (NOC Indonesia) dan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Iran menjalin kerjasama bagi memperkukuh kolaborasi dalam memajukan bidang sukan di kedua-dua negara, lapor agensi berita ANTARA.
“Kerjasama ini melambangkan komitmen bersama kita untuk meningkatkan keupayaan, pencapaian dan solidariti antara negara melalui sukan,” kata Pengerusi NOC Indonesia, Raja Sapta Oktohari dalam satu kenyataan, hari ini.
Kerjasama itu dimeterai melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Oktohari dan Presiden NOC Iran, Mahmoud Khosravivafa di Riyadh, Arab Saudi kelmarin, sempena Sukan Solidariti Islam (ISG) 2025.
Kedua-dua pihak bersetuju memperluas kerjasama melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk pertukaran jurulatih dan atlet dalam sukan utama serta penganjuran kem latihan bersama.
Selain itu, kerjasama turut meliputi penganjuran kejohanan pelbagai hala, pembangunan program saintifik dan teknikal, serta pertukaran ilmu antara pakar sukan dari kedua-dua negara.
Oktohari berkata hubungan antara jawatankuasa olimpik Indonesia dan Iran telah terjalin sejak 2015, sambil menambah bahawa pihaknya sentiasa menjemput pasukan Iran ke Indonesia dan kerjasama ini kini mengukuhkan lagi hubungan itu.
Beliau berharap kerjasama itu dapat memperluas rangkaian antarabangsa NOC Indonesia dan menyokong peningkatan keupayaan jurulatih serta atlet.
Khosravivafa menyatakan penghargaan terhadap semangat Indonesia dalam membina dunia sukan yang inklusif dan progresif.
Beliau menegaskan Iran bersedia berkongsi kepakarannya dalam sukan seperti gusti, angkat berat, taekwondo, bola tampar dan wusyu, selain ingin belajar daripada keunggulan Indonesia dalam badminton, sukan pantai, menembak, memanah serta angkat berat wanita. – Bernama


