CANBERRA, 28 JUN – Sebuah jawatankuasa parlimen mengesyorkan pengharaman iklan judi di Australia dalam tempoh tiga tahun, lapor Xinhua.
Jawatankuasa tetap parlimen mengenai dasar sosial dan hal ehwal undang-undang hari ini membentangkan laporan daripada siasatannya terhadap judi dalam talian dan kesannya.
Selepas berbulan-bulan pendengaran dan hujahan, jawatankuasa itu membuat 31 syor termasuk larangan menyeluruh terhadap semua bentuk pengiklanan judi dalam talian yang akan diperkenalkan dalam empat fasa dalam tempoh tiga tahun.
Pengerusi jawatankuasa itu, Peta Murphy, berkata jangka masa tiga tahun itu akan memberi masa kepada penyiar sukan untuk mencari pengiklan alternatif.
“Rakyat Australia adalah orang yang paling rugi di dunia dalam isu judi. Kami mempunyai budaya di mana sukan dan perjudian dikaitkan secara intrinsik. Tingkah laku itu menyebabkan kemudaratan yang semakin meluas dan serius kepada individu, keluarga dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media. – Bernama
