Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jawatankuasa realisasikan Sandakan sebagai bandar raya

    SANDAKAN, 29 JUN – Kerajaan Sabah akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan  Ekonomi dan Pelaburan Sandakan (JPEPS) bagi merealisasikan matlamat menjadikan Sandakan bandar raya kedua di Sabah, selepas Kota Kinabalu.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata jawatankuasa itu akan membantu kerajaan negeri merancang dan melaksanakan program pembangunan yang lebih sistematik dan berdaya maju di Sandakan.

    “Pembangunan ini akan terus dipacu oleh kluster-kluster ekonomi utama seperti pelancongan, perindustrian, perniagaan tani dan pembangunan modal insan.

    “Jawatankuasa ini berfungsi mengumpul maklumat dan membantu kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan ekonomi dan pelaburan daerah, selaras dengan usaha menjadikan Sandakan sebagai bandar raya dan mencapai objektif hala tuju kerajaan negeri bertemakan Sabah Maju Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata antara fungsi jawatankuasa itu ialah mengesyorkan kepada kerajaan negeri mengenai projek pembangunan yang berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pelaburan bagi dimasukkan dalam perancangan pembangunan ekonomi Sandakan.

    “Sandakan mempunyai pelbagai potensi untuk dimajukan, antaranya kepelbagaian bio yang cukup menarik untuk sektor pelancongan, perindustrian dan lain-lain, di samping menyediakan sistem perhubungan jalan raya, bekalan air dan elektrik yang mencukupi untuk menarik pelawat dan pelabur,” katanya.

    Justeru, Bung Moktar berkata jawatankuasa itu juga akan berperanan  menggalakkan dan memasarkan pembangunan  Sandakan sebagai lokasi perniagaan dan pelaburan yang menarik, selain turut memperkasa daerah berhampiran seperti Beluran, Kinabatangan dan Tongod.

    Menurutnya,  perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan kelak akan menyaksikan banyak pembangunan dilaksanakan di Kalimantan yang pastinya memberikan kesan positif terutamanya dari segi pertumbuhan ekonomi kepada Sabah, khususnya Sandakan.

    “Oleh itu, kita yang berhampiran dengan mereka sudah tentu membantu dari segi membekalkan pelbagai keperluan, antaranya tenaga elektrik, dan pada masa yang sama kita dapat menyediakan sesuatu yang boleh menarik mereka melawat ke Sandakan dan ini sudah tentu akan memberi pulangan ekonomi rakyat,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda