KUALA LUMPUR, 6 FEB – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah mengetuai satu jawatankuasa khas bagi menyelaraskan usaha kutipan dana percetakan dan pengedaran sejuta Al-Quran ke seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar arahan itu dikeluarkan pihaknya selepas mesyuarat Kabinet minggu lepas.
Beliau berkata usaha itu memerlukan penyelarasan, bagi memenuhi hasrat yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencetak sejuta naskhah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia.
“Setakat ini, kita tidak letakkan sasaran bagi jangkaan tarikh edarannya. Saya akan tunggu untuk jawatankuasa itu bersidang terlebih dahulu dan mereka akan kemas kini kepada saya, kerana kita perlu lihat usaha ini secara menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum kita tetapkan sasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Pembangunan Komuniti Setempat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Masjid Jamek Kampung Bharu, di sini hari ini. – Bernama


