Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni (JKEPA) UNISSA sesi 2023/2025 serta Pejabat Hal Ehwal Alumni (HeA) UNISSA, telah mengadakan acara pengagihan sumbangan bagi Program Jawlah Syawal: Alumni Donation Drive 2024 yang telah berlangsung di kawasan pentadbiran UNISSA, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Juga hadir penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, tenaga akademik, pegawai serta kakitangan dan ahli JKEPA UNISSA.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ketua Unit Pembangunan Kemahiran dan Tarbiah (UPKT), Persatuan Alumni UNISSA, Haji Ahmad Ahyad bin Haji Amynoor, diikuti dengan ucapan ringkas daripada Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UNISSA, Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin.
Seterusnya, ucapan ringkas disampaikan oleh tetamu kehormat, yang antara lain merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur Program Jawlah Syawal dalam melaksanakan inisiatif untuk membantu dan memastikan kebajikan dan kemaslahatan para alumni UNISSA terpelihara dengan baik.
Program tahunan tersebut bertujuan memelihara kebajikan dan meringankan bebanan antara kalangan alumni UNISSA serta bagi memudahkan urusan penyungkaian sepanjang menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan dan menyambut bulan Syawal yang akan menjelang tiba.
Selain itu, ia juga bertujuan mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) yang pertama iaitu sifar kemiskinan dalam kalangan komuniti dan masyarakat Negara Brunei Darussalam.
Program berkenaan menyaksikan penyampaian barangan sumbangan yang merupakan hasil kutipan derma wang tunai yang mencecah lebih daripada $1,000 dan juga kutipan derma barang asasi yang berlangsung sejak 22 Mac hingga 3 April lalu.
Barangan sumbangan tersebut telah diagihkan kepada 11 orang penerima yang terdiri daripada alumni UNISSA di tiga daerah iaitu Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait.



