Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menerima panggilan kecemasan mencari dan menyelamat seorang lelaki warga tempatan yang tersesat pada jam 7:48 malam di Jalan Residency, Kota Batu, kelmarin.
Dalam kejadian itu, 10 orang anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dan Skuad Khas yang diketuai oleh ABK 119 Laini dan ABK 658 Hassanuddin bergegas ke lokasi.
Anggota bomba memulakan pencarian ke dalam hutan pada pukul 8:42 malam dan mangsa berjaya di temui di kawasan Bukit Serdang oleh pekerja beliau sendiri dalam keadaan lemah.
JBP juga turut menyatakan statistik pada tahun 2019, JBP mencatatkan telah menerima panggilan seperti kes mencari orang sesat sebanyak 10 panggilan, manakala dari Januari hingga Mac 2020, sebanyak empat panggilan diterima.
Antara lokasi atau kawasan yang dikenal pasti seperti Taman Peranginan Tasek Lama, di ibu negara, Bukti Shahbandar dan Bukti Sipatir.
JBP mengingatkan kepada orang ramai khususnya bagi pengemar aktiviti mendaki bukit supaya sentiasa memastikan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan jangan mendaki bukit secara berseorangan kerana dikhuatiri perkara yang tidak diingini berlaku dan sebaiknya memaklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan di mana tempat hendak mereka tuju.
Di samping itu JBP menyarankan untuk membawa wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan. Sehubungan itu, jika ada sebarang kecemasan hendaklah berhubung terus kepada Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan di talian 995 dan memberikan maklumat yang tepat.