Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang diharungi oleh pegawai dan anggota bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) perlu bergerak seiring dengan perkembangan semasa terutama dalam pelaksanaan tugas dengan menerapkan penggunaan teknologi supaya pelaksanaan operasi dan pengerahan aset serta jentera JBP lebih terarah dan berpandukan kepada maklumat yang tepat.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) sedang meneroka untuk membangun National Emergency Response System (NERS).
Sistem itu akan menerapkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang boleh membantu JBP serta Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam menangani satu-satu insiden berpandukan kepada crowd sourcing.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika berucap pada Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun JBP ke-64, 2024 yang berlangsung di Padang Kawad, Ibu Pejabat JBP, Landasan Lama, Berakas pada 4 Mei lalu.
Selain itu, penggunaan teknologi lain seperti dron boleh membantu dalam pengoperasian JBP yang mana ia telah terbukti bagi memudahkan pengerahan aset dan anggota seperti operasi pemadaman kebakaran hutan dan operasi penyelamat semasa berlakunya banjir.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri seterusnya menyambut baik usaha jabatan tersebut dalam memberikan pengetahuan dan persiapan awal kepada orang awam termasuk di peringkat akar umbi melalui majlis perundingan mukim dan kampung serta institusi pendidikan dalam menangani insiden kebakaran melalui program seperti Kursus Life Saver 995, lawatan ke balai, Kursus Marsyal Bomba dan latihan kebakaran bangunan.
Setakat ini, jabatan berkenaan telah membekalkan peralatan seperti hos dan nozzle kepada beberapa buah mukim dan JBP akan melatih serta membekalkan kemudahan yang sama ke semua mukim yang lainnya secara berperingkat.
“Dengan tersedianya peralatan pemadam api ini setentunya akan membolehkan orang-orang kampung yang terlatih untuk mempraktikkan kebolehan mereka dan menjadi first responder dalam menangani sebarang insiden kebakaran sebelum tibanya jentera-jentera bomba,” kata Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Yang Berhormat Dato seterusnya menyeru penduduk kampung dan mukim untuk sama-sama menjaga harta benda kerajaan seperti pili-pili bomba yang pada masa ini dalam fasa pembaikan di mana aset-aset berkenaan sangat diperlukan dalam membantu JBP terutama dalam operasi memadam kebakaran hutan dan harta benda.



