Thursday, December 26, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    JBP: Hati-hati jangan sampai sesat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan kepada orang ramai khususnya bagi penggemar kegiatan hiking untuk memastikan mereka tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mula gelap.

    Saranan itu dibuat berikutan tiga kejadian orang sesat yang dilaporkan baru-baru ini berlaku di Taman Rekreasi Tasek Lama pada 14 Julai; Rancangan Perumahan Negara Kampung Bukit Beruang, Tutong pada 12 Julai lalu dan Taman Peranginan Wasai Wong Tibadak, Labi pada 11 Julai lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini.

    Menurut kenyataan yang diterima, kejadian di Taman Rekreasi Tasek Lama berlaku sekitar jam 10:18 pagi melibatkan pencarian dua lelaki warga tempatan berusia di bawah 20 tahun yang dipercayai sesat di hutan tersebut dan empat anggota bomba dan penyelamat diketuai oleh ABK 670 Amir Hassan bin Haji Bidin dari Unit Skuad Khas, Balai Bomba Rimba, Cawangan Operasi C, dikejarkan ke tempat kejadian bagi mencari mangsa yang menuju ke Bukit Serang Helang.

    Kenyataan menyatakan bahawa pada pukul 12:30 tengah hari, kedua-dua mangsa dijumpai di Wasai Jampiras sejauh 3.3 kilometer dari tempat letak kereta. Kedua-duanya ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mendapat sebarang kecederaan.

    Manakala itu, insiden yang berlaku di Rancangan Perumahan Negara Kampung Bukit Beruang, Tutong pada jam 7:35 malam melibatkan pencarian dua warga tempatan, lelaki dan perempuan di bawah umur 20 tahun yang dipercayai sesat di hutan tersebut.

    Sejurus menerima laporan, empat anggota bomba diketuai oleh ASO Haji Abdul Aziz dari Balai Bomba Bukit Beruang, Cawangan Operasi E, bertindak masuk ke dalam hutan untuk operasi mencari yang kemudian berjaya ditemui pada pukul 9 malam dalam keadaan baik dan selamat serta tidak mendapat sebarang kecederaan.

    Sementara itu, empat anggota bomba diketuai oleh ASO Haji Ghafar dari Balai Bomba Labi Cawangan Operasi B, telah berkejar ke Taman Peranginan Wasai Wong Tibadak, Labi bagi mencari 18 mangsa sesat pada pukul 8:52 malam.

    Kenyataan menyatakan bahawa pada pukul 2:24 pagi, kesemua mangsa warga tempatan telah pun keluar bersama enam penduduk kampung dan seorang anggota polis melalui Wasai Wong Kadir dengan tidak mendapat sebarang kecederaan.

    JBP menyarankan orang ramai khu-susnya penggemar aktiviti hiking supaya mengetahui kawasan yang hendak dituju bagi menggelakkan tersesat, tidak mendaki bukit secara berseorangan kerana ditakuti berlaku perkara yang tidak diingini dan memaklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan tempat mereka hendak tuju serta disarankan membawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.

    Jika berlaku sebarang insiden, orang ramai disarankan untuk menghubungi Talian Kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda