Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Cawangan Operasi B, Daerah Belait telah menghulurkan bantuan ihsan berupa makanan asasi kepada keluarga yang ditimpa musibah kebakaran rumah di Kampung Kenapol, Labi, 27 Oktober lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP di sini, hari ini, hadir bagi menyempurnakan penyerahan itu ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi B, Daerah Belait, Penguasa Kanan Noor Aflan bin Awang Kachi kepada isteri mangsa kebakaran iaitu Hajah Nauyah binti Ismail.
Penyerahan diadakan di Bilik Menunggu ICU Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di ibu negara.
Dengan adanya bantuan itu ia akan dapat mengurangkan beban mereka yang terlibat semasa kejadian kebakaran tersebut.
Juga hadir ialah Pegawai Turus/Ketua Perhubungan Awam Cawangan Operasi B, Pegawai Balai Azlina binti Haji Adnan, Stesen Komander Balai Bomba Labi, Pemangku Pegawai Balai Sarkawi bin Bakar dan pegawai-pegawai berkenaan.
